TAJUDDIN (dua dari kanan) dalam lawatan ke Ladang Lubok Bakul, Pagoh.
TAJUDDIN (dua dari kanan) dalam lawatan ke Ladang Lubok Bakul, Pagoh.

Pagoh: Kerajaan menyasarkan pengeluaran daging 50 peratus menjelang 2020, sekali gus mengurangkan import daging yang mencecah 70 peratus ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, ketika ini Malaysia hanya menghasilkan antara 28 hingga 30 peratus daging lembu dan kerbau atau 170,000 tan metrik menyebabkan lebihan 70 peratus diimport daripada Australia, Thailand dan India.

Katanya, keadaan itu tidak bagus daripada segi keselamatan bekalan makanan negara menyebabkan kementeriannya berusaha meningkatkan pengeluaran daging bagi mengurangkan kebergantungan import daging.

“Justeru, beberapa langkah diambil sejak beberapa tahun lalu bagi menambah bilangan daging lembu dan kerbau di Malaysia termasuk penubuhan beberapa Ladang Satelit di seluruh Malaysia.

“Kami yakin memenuhi sasaran menyediakan 50 peratus bekalan daging tempatan menjelang 2020 walaupun jumlah paling ideal adalah 70 hingga 80 peratus,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Ternakan Lembu Fidlot Johor Corporation (JCorp) di Ladang Satelit Lubok Bakul Pagoh, di sini, semalam.

Menurutnya, Malaysia berdepan masalah mendapatkan daging import dari Thailand, baru-baru ini, selepas penternak negara berkenaan mendapat tawaran lebih tinggi daripada China.

Katanya, sebelum ini mungkin rakyat China kurang memakan daging lembu, bagaimanapun apabila mereka mengubah selera dan mengimport dari Thailand, ia secara tidak langsung menjejaskan import daging Malaysia.

“Dalam lawatan ini, saya melihat Projek Ternakan Lembu Fidlot Johor Corporation di Ladang Satelit Lubok Bakul Pagoh.

“Berikutan itu, kami melantik Johor Corporation menguruskan 10 daripada 21 projek sama di negeri ini bagi meningkatkan pengeluaran daging,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 8:16 AM