Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) bersikap terbuka terhadap mana-mana pihak yang berminat untuk memajukan tapak projek pedaging atau juga dikenali sebagai Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tanah seluas kira-kira 400 hektar (1,000 ekar) itu kini dimiliki oleh MBI, yang dahulunya disewakan kepada NFC bagi melaksanakan projek berimpak tinggi membabitkan industri pedaging negara melalui program fidlot nasional.

"Dulu kita (MBI) sewakan pajak tanah itu kepada NFC tetapi ketika ini mereka (NFC) tidak bersama lagi dengan MBI.

"Kita (MBI) bersikap terbuka kepada apa juga cadangan atau mana-mana pihak yang menyatakan minat untuk mengusahakan tanah terbabit.. kalau nak bela lembu lagi hebat pun kita terima tapi mesti projek yang betul.

"Jika ada yang hendak buat apa saja projek bersesuaian pun kita terima," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, tadi.

Aminuddin berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima tawaran daripada dua syarikat tempatan yang menunjukkan minat untuk memaju dan melaksanakan projek di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bagaimanapun ia masih dalam perbincangan lanjut dan belum membuat sebarang keputusan muktamad.

"Kita (MBI) ada terima cadangan daripada syarikat yang menunjukkan minat untuk laksanakan projek di situ, tapi masih di peringkat perbincangan," katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), kerajaan meluluskan peruntukan RM80 juta untuk membangunkan Program Fidlot Nasional iaitu RM40 juta untuk NFC di Gemas dan selebihnya bagi pembangunan ladang satelit fidlot di seluruh negara.

Statistik ketika itu mendapati pengeluaran daging lembu dalam negara masih di tahap rendah dengan Kadar Sara Diri pengeluaran daging lembu dianggarkan hanya 23 peratus pada tahun 2005.

NFC adalah selaras usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara untuk meningkatkan populasi ternakan lembu kepada 1.3 juta ekor dan meningkatkan pengeluaran daging lembu daripada 18 peratus kepada 28 peratus kadar sara diri (SSL) dengan pengeluaran sebanyak 45,000 tan metrik daging pada tahun 2010.

Berdasarkan tinjauan Harian metro ke lokasi tapak projek itu baru-baru ini, mendapati semua binaan infrastruktur di tapak berkenaan sudah mengalami kerosakan teruk termasuk wayar pendawaian yang mungkin dicuri, tingkap dan pintu bangunan pecah, malah pagar ladang untuk lembu fidlot juga sudah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:38 PM