MAYAT Rishahfaizal diangkat ke dalam ambulans sebaik berjaya dibawa keluar.
MAYAT Rishahfaizal diangkat ke dalam ambulans sebaik berjaya dibawa keluar.

Kuala Lumpur: Seorang juruanalisis kimia maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya merempuh belakang sebuah bas persiaran yang berhenti di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Maharajalela di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Rishahfaizal Mohamed Kassim, 48, yang berasal dari Kampung Melayu, Batu 16, Rawang itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa pada mulanya berhenti di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di situ.

Bagaimanapun, kereta itu tiba-tiba bergerak secara melulu lalu terus merempuh belakang bas yang sedang berhenti menunggu pelancong untuk dibawa ke Muzium Negara.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kenderaan itu dipandu laju kerana tidak menemui kesan brek,” katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 7:14 AM