SULTAN Muhammad V berkenan melawat Nik Abdul Aziz diiringi Ahmad Yakob (tiga dari kiri), kelmarin.
SULTAN Muhammad V berkenan melawat Nik Abdul Aziz diiringi Ahmad Yakob (tiga dari kiri), kelmarin.
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Keadaan kesihatan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan perkembangan positif apabila sudah sedar, semalam.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu juga dilaporkan sempat menunaikan solat Subuh dan bersarapan dengan air teh ‘O’ sebelum berehat semula.

Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamed Abduh berkata, bapanya sempat berbual dengan pegawai perubatan yang merawatnya selama empat jam berhubung kesihatannya dan perkembangan sepanjang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Neuro Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Pemeriksaan melalui imbasan tomografi berkomputer (CT scan) menunjukkan keputusan tiada apa-apa kesan dan keadaan kepala ayah dilaporkan normal.

“Doktor meminta ahli keluarga menderma darah untuk persediaan sekiranya keadaan ayah memerlukan bekalan darah,” katanya pada sidang media di HUSM, di sini, semalam.

Beliau berkata, jika sebelum ini bapanya menggunakan alat bantuan pernafasan, namun sejak semalam mula bernafas secara normal.

“Saya mohon orang ramai mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ayah supaya kembali sihat,” katanya.

Turut melawat Nik Abdul Aziz ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan bekas Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, perkembangan bekas Menteri Besar itu menunjukkan semakin positif.

Mohd Amar pula memohon semua pihak tidak mengambil kesempatan dengan menyebar gambar dan maklumat tidak tepat mengenai keadaan kesihatan Nik Abdul Aziz.

“Rakyat perlu mendengar daripada sumber yang sah bagi mendapat maklumat tepat mengenai kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati Nik Abdul Aziz dikunjungi pimpinan negeri dan ahli keluarga terdekat.

Kelmarin, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut berkenan menziarahi Nik Abdul Aziz selama kira-kira setengah jam, kira-kira jam 10.40 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 10:06 AM