NAJIB meninjau kawasan Lembah Kuala Kangsar yang banjir.
NAJIB meninjau kawasan Lembah Kuala Kangsar yang banjir.

Kuala Kangsar: Bantuan terhadap mangsa banjir di seluruh negara terus diberikan bukan hanya ketika bencana, tetapi juga ketika pasca banjir termasuk membersihkan kediaman dan bantuan kewangan bagi meringankan beban ditanggung mangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan mengatur langkah yang bersesuaian membantu mangsa banjir.

“Saya lihat semasa lawatan di pusat pemindahan, keadaannya selesa dan layanan baik diberikan kepada mangsa oleh agensi kerajaan berkaitan.

“Makanan cukup empat kali sehari dan kemudahan lain diberikan hingga mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat. Ini kami lakukan bagi meringankan beban yang dialami mangsa,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sayong, di sini semalam.

Menurutnya, selepas ini bila air mula surut mangsa pulang ke rumah masing-masing dan kerajaan mengatur langkah membantu mangsa dalam usaha pembersihan kediaman.

“Peringkat terakhir kerajaan menentukan bantuan kewangan dan kami putuskan agihan bantuan itu selepas penilaian dibuat apabila banjir selesai kelak.

“Kerajaan juga mengambil tindakan membaik pulih kemudahan asas dan aset kerajaan yang rosak akibat banjir namun saya tidak dapat menyatakan jumlah sebenar pada masa ini kerana air belum suru,” katanya.

Terdahulu Najib yang disertai Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membuat lawatan sekitar pekan Kampung Gajah serta empat pusat pemindahan banjir di Perak Tengah antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzaffar Shah Lambor Kanan, Sekolah Kebangsaan Teluk Kepayang Bota Kiri, Parit, dekat sini.

Ditanya sama ada kerajaan memberi bantuan kediaman baru kepada mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal terutama di Manek Urai, Kelantan, Najib berkata, kerajaan mempertimbangkan perkara itu.

“Saya melawat dua daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai dan Gua Musang esok (hari ini) bagi melihat sendiri keadaan sebenar.

“Biar saya buat tinjauan serta dapatkan maklumat secara menyeluruh dulu, sebelum tentukan bantuan kerajaan yang termampu dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 8:20 AM