Anggota Unit Forensik menjalankan siasatan susulan kejadian rompakan di kedai emas Jalan Tunku Hassan, Seremban awal pagi tadi.
Anggota Unit Forensik menjalankan siasatan susulan kejadian rompakan di kedai emas Jalan Tunku Hassan, Seremban awal pagi tadi.

Seremban: Sebuah kedai emas di Jalan Tunku Hassan di sini, kerugian hampir RM400,000 selepas empat dulang emas dilarikan dua lelaki bersenjatakan besi, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, kedua-dua suspek yang memakai baju lengan panjang, bersarung tangan dan topi keledar berpenutup penuh menyerbu masuk kedai berkenaan.

Pemilik kedai yang hanya mahu dikenali Teng, 30-an berkata, ketika kejadian, dia dan dua pekerjanya serta seorang pelanggan lelaki berada di dalam premis berkenaan.

“Suspek yang bersenjatakan besi panjang dibaluti tali berwarna merah putih mengarahkan kami diam. Mereka memecahkan kaca rak pameran emas menggunakan besi terbabit.

“Mereka kemudian melarikan empat dulang emas dengan membonceng sebuah motosikal yang diletak di lorong bersebelahan kedai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Teng, kejadian hanya mengambil masa kira-kira dua minit. Dia yang tergamam hanya menekan penggera sebaik suspek melarikan diri sebelum menghubungi polis.

Teng berkata, ia kali ketiga kedainya itu dirompak sejak beroperasi sembilan tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan.

“Kami sudah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan kedua-dua suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jaafar turut menasihatkan pemilik kedai emas supaya mempertingkatkan aspek keselamatan di premis masing-masing dan pihaknya pula akan meningkatkan rondaan terutama menjelang tahun baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:20 AM