Nurliyana Syamimi  dicium  ibunya selepas menerima semua A bagi semua mata pelajaran dalam PT3 di SMK King George V, Seremban.
Nurliyana Syamimi dicium ibunya selepas menerima semua A bagi semua mata pelajaran dalam PT3 di SMK King George V, Seremban.

Seremban: Tidak meninggalkan solat lima waktu dan kerap melakukan solat hajat menjadi petua kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV) di sini, Nurliyana Syamimi Azlinor yang memperoleh keputusan 10A dalam ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan, semalam.

Nurliyana, 15, berkata, dia tidak menyangka mendapat semua A kerana hanya meletakkan sasaran 9A sama seperti ujian percubaan.

“Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa saya. Walaupun terkejut dengan keputusan itu, saya bersyukur dan gembira,” katanya ketika ditemui selepas mengambil keputusan PT3, semalam.

Dia antara tujuh pelajar KGV yang memperoleh keputusan semua A dalam subjek diambil.

Pelajar tingkatan tiga tahun ini menjadi perintis kepada kaedah atau bentuk penilaian baru dinamakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan PT3 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dilaksanakan pada 1 Julai lalu.

Nurliyana berkata, dia dapat menyesuaikan diri dengan kaedah itu dan menumpukan perhatian sepenuhnya ketika sesi pembelajaran.

“Saya tidak mengikuti kelas tambahan di luar sebaliknya membuat setiap latihan diberi guru dan mendengar cakap guru. Saya juga mengulang kaji pelajaran ketika di rumah,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, ibu bapanya banyak memberi dorongan dan bimbingan untuk dia berjaya.

Menurutnya, dia tidak berhasrat ke sekolah berasrama penuh sebaliknya mahu menyambung persekolahan di tingkatan empat di KGV walaupun mendapat keputusan cemerlang.

Rakannya, G Dharini, 15, yang mendapat 9A dalam ujian PT3 berkata, dia menumpukan perhatian dalam kelas dan mendengar cakap guru.

Katanya, dia meletakkan sasaran mendapat semua A dalam ujian itu menyebabkan dia belajar bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Pengetua KGV Mohammad Md Isa berkata, seramai 198 pelajar sekolah terbabit mengambil ujian PT3, tujuh daripadanya mendapat semua A dan 177 calon berjaya menguasai tahap minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:22 AM