Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah usaha bagi membentuk pelajar supaya lebih holistik dan melonjakkan pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, selain PT3, pelaksanaan Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Sekolah (PS) dengan semuanya komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) membantu untuk lebih memahami potensi pelajar dan keperluan mereka.

“Justeru, terima kasih juga diucapkan kepada guru yang memberi sokongan dan bimbingan kepada anak murid mereka,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di laman Facebook (FB) miliknya, semalam.

Dalam pada itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menduduki PT3 serta berjaya dalam keputusan mereka.

“Kepada ibu bapa dan pelajar baik yang berjaya atau kurang berjaya, saya berharap keputusan PT3 yang perlu dipertimbangkan secara menyeluruh bersama pelaporan PPsi, PAJSK dan PS dapat memberi panduan dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya sama ada aliran sastera, sains, vokasional atau teknikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:31 AM