ANGGOTA polis membawa keluar mayat mangsa.
ANGGOTA polis membawa keluar mayat mangsa.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki nekad menggantung diri di siling tingkat tiga sebuah bilik hotel bajet di Kampung Air, di sini, kelmarin, sebelum isterinya menikam tubuh sendiri menggunakan pisau dan gunting selepas kecewa melihat suaminya membunuh diri.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mayat mangsa yang berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Penangah, Tongod, Sandakan ditemui oleh isterinya yang pulang daripada bekerja.

Isteri mangsa yang menikam tubuhnya sendiri selepas melihat suaminya tergantung sempat diselamatkan penghuni bilik bersebelahan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat manakala isteri mangsa yang cedera di tangan kiri dan perut dibawa ke hospital sama untuk dirawat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, berdasarkan siasatan awal suami isteri itu bertengkar kerana masalah kewangan sebelum si suami menggantung diri.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:16 AM