MAYAT dibawa naik ke pelabuhan.
MAYAT dibawa naik ke pelabuhan.
SEORANG anak kapal yang cedera dibawa naik ambulans untuk mendapatkan rawatan.
SEORANG anak kapal yang cedera dibawa naik ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Dua pekerja kapal membawa muatan cecair gas petroleum (LPG) maut selepas mengalami kecederaan parah apabila saluran paip gas bahagian belakang kapal berkenaan meletup dalam kejadian di perairan negeri ini, petang kelmarin.

Mangsa yang maut ialah warga Korea, Song Oh Weon, 56, dan Zaw Myo Htut, 23, (Myanmar) manakala yang cedera dikenali sebagai Choi Tae Won, 64, (Korea) dan Khine Zin Min, 28, (Myanmar).

Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kapal DL Calla milik Korea dalam perjalanan ke Thailand membawa muatan gas petroleum cecair bersama 23 kru warga Korea dan Myanmar.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada APMM Wilayah Timur berpangkalan di Pahang selepas mereka menerima faksimile daripada pengawal pantai Korea pada jam 5.50 petang memaklumkan sebuah kapal milik Korea yang membawa muatan cecair gas petroleum berada dalam kecemasan pada kedudukan 26 batu nautika dari Timur Laut Kuala Terengganu.

“Berikutan itu kita menghantar sebuah bot penyelamat dan tiba di lokasi pada jam 6.40 petang seterusnya melakukan kerja menyelamat mangsa sebelum dibawa ke Jeti APMM Pulau Kambing pada jam 10.30 malam.

“Mangsa yang maut dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk bedah siasat manakala yang cedera diberikan rawatan kecemasan,” katanya ketika ditemui di Jeti APMM, awal pagi semalam.

Mohamad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagaimana letupan paip gas berkenaan boleh berlaku.

Difahamkan, ketika kejadian, empat pekerja terbabit dipercayai sedang melakukan tugas di sebuah bilik bahagian belakang sebelum terkena serpihan paip gas yang pecah akibat letupan selepas dipercayai mengalami kebocoran pada bahagian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 9:01 AM