Pasangan  kembar, Nik Ahmad Ridhuan dan Nik Ahmad Radhi menunjukkan diploma kepada  ibu bapa mereka.
Pasangan kembar, Nik Ahmad Ridhuan dan Nik Ahmad Radhi menunjukkan diploma kepada ibu bapa mereka.
Oleh Khairul Hamizy Ramlee


Kuala Terengganu: Cita-cita pasangan kembar, Nik Ahmad Ridhuan Nik Ibrahim dan Nik Ahmad Radhi, 20, menjadi pereka grafik semakin cerah selepas kedua-duanya menerima diploma pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-6 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, kelmarin.

Penerima Diploma Teknologi Maklumat (Multimedia) daripada Fakulti Informatik dan Komputeran itu antara 1,633 graduan yang menerima diploma daripada Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim dalam majlis konvokesyen selama tiga hari bermula Sabtu lalu.

Nik Ahmad Ridhuan berkata, dia dan adiknya tidak pernah berpisah serta bercita-cita menjadi pereka grafik sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya dan adik bersyukur kerana menamatkan pengajian dalam masa ditetapkan, sekali gus mencerahkan lagi peluang kami untuk bergelar pereka grafik suatu hari nanti.

“Saya dan adik akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah serta memilih bidang sama di UniSZA juga,” kata anak ke-11 daripada 12 beradik itu.

Nik Ahmad Radhi pula berkata, dia sering belajar dan membuat tugasan bersama abangnya, malah mereka saling bekerjasama dalam apa saja perkara.

Menurutnya, semua perkara menjadi mudah baginya selepas berkongsi dengan abang dan dia bersyukur kerana mereka diletakkan dalam kelas sama sejak di bangku sekolah lagi.

“Kejayaan kami berkat doa daripada ibu bapa yang banyak berkorban selama ini dan kami bersyukur dengan kejayaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:33 AM