Kerian: Selepas laluan di Kilometer 15 Jalan Bagan Serai-Selama ditutup akibat banjir sejak Rabu lalu, 30 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu menghadapi kesukaran untuk ke sekolah.

Justeru, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Kerian memberikan bantuan kepada pelajar itu dengan menyediakan kemudahan pengangkutan selepas menerima permohonan daripada sekolah.

Pegawai Operasi JPAM Kerian B Sugumaran berkata, pihaknya komited memberikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah itu termasuk menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pelajar yang terbabit.

Katanya, JPAM mengambil pendekatan membantu 30 pelajar berkenaan yang tinggal Matang Pasir dan Changkat Lobak, Alor Pongsu untuk berulang-alik ke sekolah memandangkan ada antara mereka bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).

“Sebelum ini, semua pelajar itu terpaksa berulang-alik ke sekolah dengan motosikal dan penutupan jalan menyebabkan mereka sukar ke sekolah memandangkan laluan alternatif disediakan amat jauh.

“JPAM Kerian melaksanakan dua sesi mengambil pelajar berikutan kenderaan Land Rover yang digunakan hanya mampu memuatkan 15 pelajar bagi setiap perjalanan,” katanya ketika ditemui media di Pejabat JPAM Kerian, di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan JPAM menghadapi kemungkinan berlakunya banjir lebih teruk di Kerian, Sugumaran berkata pihaknya sudah bersiap sedia dengan jumlah kekuatan anggota terlatih yang mencukupi.

Menurutnya, pihaknya kini hanya menunggu arahan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah itu dan akan terus menggerakkan anggotanya ke lokasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:19 AM