Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Dua pesalah menerima hukuman mereka apabila disebat masing-masing tujuh dan lapan kali menggunakan rotan halus di hadapan orang awam di Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku salah terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.

Bekas pelajar sebuah pusat latihan Mohamed Shaznee Jahn Mohamed Yasin, 19, dan penjaga pusat snuker Redzohaan Abdullah, 20, disebat pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Ahmad Bache sambil disaksikan orang awam dan wartawan yang berada di galeri awam mahkamah.

Pada prosiding semalam, kedua-dua tertuduh yang bertubuh kurus kelihatan tenang ketika diperintahkan membongkok di meja hadapan galeri mahkamah untuk disebat menggunakan rotan sepanjang satu meter. Namun, apabila disebat kali keempat, kedengaran mereka mengadu kesakitan.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan doktor yang hadir memeriksa tahap kesihatan pesalah berkenaan sebelum hukuman sebatan dijalankan.

Selepas disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap mereka.

Pada 4 September lalu, Mohamed Shaznee dijatuhi hukuman penjara setahun setengah dan tujuh sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 November 2013.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan merompak dengan menggunakan kayu bersama seorang lagi yang masih bebas ke atas Teo Len Hoo, 61, dengan mengambil wang tunai RM418 di Kedai Internet V-Hyper Enterprise, C-38&40, Plaza Usahawan Genting Klang, Setapak, di sini, pada 6.24 pagi, 24 November 2013.

Manakala Redzohaan pada 21 Ogos lalu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara dua tahun dan lapan sebatan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Februari 2014, selepas mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan bersama dua lagi yang masih bebas, bersenjatakan parang terhadap Martin Anak Iyan, 37, dengan merompak telefon bimbit, tablet dan wang tunai RM300 di Kedai KK Mart, Batu 2 1/2 Jalan Ipoh di sini pada jam 3.30 pagi, 31 Januari 2014.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sesudah hukuman rotan dijalankan, Ahmad menasihati kedua-dua tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:12 AM