ISMAIL (dua dari kanan) beramah mesra bersama anggota dan pegawai JPJ.
ISMAIL (dua dari kanan) beramah mesra bersama anggota dan pegawai JPJ.
Oleh Azma Razana Johari


Permatang Pauh: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung permit institut memandu yang mengenakan yuran melebihi harga siling kepada orang ramai yang mahu mendapatkan lesen memandu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, harga siling yang ditetapkan adalah adil kepada calon ujian lesen memandu dan pengusaha institut memandu.

“Sebelum ini, purata bayaran mengambil lesen kereta antara RM1,300 hingga RM1,400, tetapi selepas kajian, JPJ menetapkan harga siling RM1,150 bagi kereta manual dan RM1,250 untuk kereta automatik.

“Bagi lesen B2 iaitu motosikal, maksimum harga yang boleh dikenakan ialah RM350. JPJ menetapkan harga siling untuk mengawal harga yuran supaya tidak dinaikkan dan pengguna yang dikenakan yuran melebihi harga siling boleh membuat aduan di pejabat JPJ berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Sesi Perjumpaan Bersama Anggota Penguatkuasa Peringkat Zon Utara di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, semalam.

Sementara itu, Ismail berkata, JPJ akan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi kenderaan barangan yang membawa muatan berlebihan atau berbahaya mulai 1 Disember depan.

Beliau berkata, operasi pada peringkat pertama yang bermula sejak 1 September lalu merekodkan sebanyak 19,917 saman di seluruh negara dan penguatkuasaan khas itu bertujuan mengatasi masalah kenderaan berat yang membawa lebih muatan membabitkan sektor pembalakan, mengangkut tanah, batu, kepala sawit dan sebagainya untuk tujuan komersial serta persendirian.

“Sebelum ini, JPJ sukar untuk melaksanakan penguasaan kepada pemandu yang membawa lebih muatan, namun selepas 20 Oktober lalu, kami mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara untuk JPJ menghantar kertas siasatan kes kesalahan itu kepada Pejabat Pendakwa Raya (DPP) berbanding melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini.

“JPJ menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai kenderaan yang membawa barang lebih muatan seperti batu dan pasir hingga bertaburan di jalan selain membahayakan pemandu lain,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, JPJ akan menggunakan alat menimbang mudah alih di setiap kawasan operasi selain menggunakan stesen menimbang kekal.

Ismail berkata, semua anggota penguat kuasa JPJ di seluruh negara akan dikerahkan dalam operasi berkenaan dan pemandu kenderaan berat diingatkan agar lebih bertimbang rasa serta memberi kerjasama.

“Pemilik kenderaan berat diingatkan mengutamakan keselamatan orang awam sama serta tidak hanya memikirkan aspek keuntungan semata-mata. Pemandu dan pemilik kenderaan yang membawa muatan lebih atau berbahaya boleh dikompaun sebanyak RM300,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:02 AM