Muhyiddin  (tiga dari kiri) melihat pameran watak wayang kulit kombinasi tradisional dan moden oleh Fakulti Pendidikan UiTM sambil diiringi Moehamad Izat (dua dari kiri) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE,  semalam.
Muhyiddin (tiga dari kiri) melihat pameran watak wayang kulit kombinasi tradisional dan moden oleh Fakulti Pendidikan UiTM sambil diiringi Moehamad Izat (dua dari kiri) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, semalam.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Kuala Lumpur: Kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi tempatan perlu diwujudkan dalam memulihara serta mengembangkan warisan Melayu yang juga khazanah penting bangsa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama itu penting supaya penyelidikan mengenai warisan Melayu bagi tujuan pemuliharaan, pengembangan dan pendidikan dapat dijalankan.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) dan NGO Melayu lain boleh memainkan peranan penting dalam memulihara serta mengembangkan warisan bangsa.

“Selain itu, PERDASAMA sebagai sebuah pertubuhan berteraskan ekonomi boleh memikirkan bagaimana produk berunsurkan warisan Melayu boleh dipasarkan di dalam dan luar negara.

“Secara tidak langsung nilai ekonomi produk warisan Melayu akan melonjak dan industri yang berteraskan warisan Melayu boleh berkembang dengan lebih maju seterusnya memberi banyak manfaat kepada penggiat dalam bidang berkenaan,” katanya ketika merasmikan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 di Matrade di sini semalam.

Hadir sama Presiden PERDASAMA Datuk Moehamad Izat Emir; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Norsaadah Ismail serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014, Datuk Naim Mohamad dan Prof Madya Dr Faizah Abdul Majid.

Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 yang bermula semalam dan hari ini itu dianjurkan PERDASAMA bersama UiTM.

Kongres yang bertemakan Khazanah Sepanjang Zaman itu menghimpunkan penggiat seni, cendekiawan, penggubal dasar serta pihak berkaitan untuk bermusyawarah bagi menghasilkan resolusi seterusnya watikah yang mencerminkan keunggulan Warisan Seni Bangsa.

Ia bermatlamat menyatupadukan Melayu dan Bumiputera dari dalam dan luar negara melalui satu rantaian dan rangkaian kemas dengan kewujudan Economic Intelligent Centre (EIC), memulihara harta intelek produk warisan serta meningkatkan pemasaran produk warisan untuk menguasai pasaran dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kongres terbabit adalah medan terbaik merangka satu pelan pembangunan industri berteraskan warisan Melayu di samping mengupas unsur positif dalam warisan sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu yang boleh menyumbang kepada kemajuan bangsa.

Beliau berkata, dengan mengetengahkan unsur positif warisan dan tamadun Melayu, ia dapat menyuntik semangat baru kepada bangsa Melayu untuk terus mara ke depan seterusnya mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:16 AM