JASAD warga Nigeria dibawa menaiki trak polis untuk dibedah siasat.
JASAD warga Nigeria dibawa menaiki trak polis untuk dibedah siasat.

Kuala Lumpur: Seorang penculik yang cuba melarikan diri dengan melompat balkoni sebuah pangsapuri sebaliknya maut selepas terjatuh dari tingkat 17 kediaman itu.

Suspek berusia 30-an itu dikesan menculik seorang lelaki warga Nigeria jam 6 pagi kelmarin, bersama empat rakannya sebelum menyembunyikan mangsa di pangsapuri terletak di Taman Melawati, Hulu Klang di sini.

Sumber polis berkata, suspek kemudian menghubungi teman wanita mangsa dan memakwa wang tebusan sebanyak RM40,000 dibayar segera.

Menurutnya, suspek mengugut teman wanita mangsa membayar wang tebusan itu jika tidak mahu mangsa yang juga penuntut sebuah kolej swasta itu dibunuh.

"Bagaimanapun, kekasih mangsa membuah laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang sekitar jam 8 pagi hari sama.

"Susulan itu polis segera menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan lokasi mangsa disembunyikan," katanya.

Difahamkan tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita tempatan terbabit dalam merancang penculikan itu.

"Polis kemudian melakukan serbuan di pangsapuri itu sekitar jam 10 pagi. Seorang suspek yang panik cuba melarikan diri dengan melompat ke arah balkoni rumah bersebelahan di tingkat 17 kediaman itu.

"Bagaimanapun cubaan melarikan diri itu gagal apabila suspek terjatuh. Suspek ditemui mati di tingkat tujuh kediaman akibat kecederaan parah," katanya.

Menurutnya, suspek selebihnya berjaya diberkas polis dan mangsa culik ditemui dalam keadaan selamat.

"Polis hanya mengambil masa empat jam bagi menyelesaikan kes culik berkenaan," katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian culik itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan semua suspek ditahan reman semalam untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:20 AM