Norizuan Shamsuddin


Serdang: Lima warga Nigeria dipercayai terbabit dalam kejadian samun ditahan polis di Pangsapuri Teratai, Taman Puchong Prima, Puchong, kira-kira 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, mereka disyaki terbabit kejadian samun yang dipercayai dilakukan lapan suspek warga Nigeria di hadapan restoran di Bandar Puteri Puchong, semalam.

Katanya, hasil maklumat pihaknya menyerbu pangsapuri yang didiami oleh suspek berkenaan.

"Ketika serbuan, seorang daripada suspek cuba melarikan diri melalui pintu bahagian balkoni dan bertindak terjun dari tingkat empat.

"Namun, suspek ditahan selepas patah pergelangan kaki.

"Semua suspek yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Razimi memaklumkan polis turut mengesan tiga lagi rakan suspek kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 11:31 PM