KUCING mempunyai sifat yang memendam rasa sakit.
KUCING mempunyai sifat yang memendam rasa sakit.
Hafiz Ithnin dan Nurul Sabrina Jamali

Meskipun penyakit ini jarang berlaku kepada si bulus tetapi di Malaysia, barah payudara dalam kalangan kucing tetap wujud.

Pada awalnya, penulis juga agak terkejut barah payudara boleh berlaku dalam kalangan kucing kerana biasanya penyakit itu sinonim dengan manusia.

Menurut Doktor Veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali, sepanjang 14 tahun bergelar doktor haiwan boleh dikatakan beliau sudah mengendalikan kira-kira lima kes membabitkan penyakit itu dalam kalangan kucing.

Dr Salehatul
Dr Salehatul

Jelasnya, barah payudara dalam kalangan kucing dikenali sebagai mammary glands tumor atau kanser yang jarang berlaku tetapi boleh berlaku kepada kucing terutama jika haiwan itu sudah berusia.

"Lebih tinggi risikonya apabila kucing itu sudah berusia dan tidak dimandulkan. Perkara ini disebabkan pendedahan hormon pembiakan seperti estrogen dan progesteron yang berlaku di dalam badan kucing itu.

"Faktor utama barah payudara kucing ini berlaku sebenarnya agak sukar untuk dijelaskan tetapi kebanyakan disebabkan faktor umur, ketidakseimbangan hormon dan genetik," katanya.

Dr Salehatul berkata, barah payudara biasanya berlaku kepada kucing betina berbanding kucing jantan memandangkan betina mempunyai hormon estrogen dan progestoren lebih tinggi daripada jantan.

"Kucing yang mendapat barah termasuk barah payudara agak sukar untuk dikenal pasti petanda awalnya berbanding manusia.

"Kucing apabila sakit, ia tidak akan menunjukkan rasa sakitnya berbanding manusia yang mungkin demam berpanjangan atau rasa kesakitan otot serta boleh meluahkan rasa itu menerusi percakapan. Kucing pula hanya berdiam diri," katanya.

PEMERIKSAAN kesihatan berkala boleh membantu mengenalpasti penyakit yang dihadapi kucing pada peringkat awal.
PEMERIKSAAN kesihatan berkala boleh membantu mengenalpasti penyakit yang dihadapi kucing pada peringkat awal.

Katanya, perkara yang boleh dilakukan pemilik sudah pasti menerusi pemeriksaan kesihatan secara berkala iaitu enam bulan sekali bagi kucing yang sudah berusia dan setahun sekali bagi kucing muda.

"Menerusi pemeriksaan secara berkala di klinik haiwan ini, doktor akan dapat mengenal pasti sekiranya terdapat keadaan fizikal kucing yang tidak normal.

"Apabila perkara itu berlaku, biasanya pemeriksaan lanjut akan dilakukan seperti mengambil sampel darah untuk dihantar ke makmal supaya boleh mengenal pasti secara terperinci masalah kesihatan yang berlaku kepada kucing kesayangan pemilik," katanya.

UJIAN darah dapat mengenalpasti sekiranya kucing mengalami penyakit barah termasuk barah payudara.
UJIAN darah dapat mengenalpasti sekiranya kucing mengalami penyakit barah termasuk barah payudara.

Jelasnya, jika kucing kesayangan disahkan mengalami barah termasuk barah payudara, agak sukar untuk diberi rawatan bagi mengembalikan kesihatannya walaupun sesetengah barah boleh dikawal dengan pembedahan membuang tisu yang yang terjejas. Ini kerana, sel barah boleh terjadi semula dan merebak ke kawasan lain.

"Pertama, kos ubat barah untuk haiwan ini amat mahal dan sukar untuk didapati di pasaran tempatan. Keduanya, kadang-kala penyakit itu sudah berlaku sekian lama dan sukar untuk dirawat.

"Jadi, biasanya doktor akan memberi kesediaan mental kepada si pemilik untuk menerima keadaan yang bakal berlaku pada masa depan terhadap kucing kesayangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 6:12 AM