PENGGUNA harus bijak menggunakan ruang siber dan sentiasa melaksanakan langkah wajib.
PENGGUNA harus bijak menggunakan ruang siber dan sentiasa melaksanakan langkah wajib.
Muhammad Saufi Hassan


KES penipuan atas talian (online) seringkali berlaku terutamanya ketika kadar digitalisasi dalam kalangan rakyat negara ini sudah meningkat jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

Pada pasca pandemik Covid-19 ini juga, kebanyakan pengguna lebih selesa untuk melakukan pembelian secara 'online' tanpa perlu hadir secara fizikal di kedai bagi membeli barangan tertentu.

Biarpun sudah banyak pendedahan dilaksanakan sama ada oleh agensi kerajaan mahupun individu perseorangan berhubung budaya selamat ketika melakukan pembelian atas talian, namun masih wujud segelintir golongan yang sering menjadi mangsa.

Pastinya, pengguna akan lebih cenderung untuk memilih belian secara atas talian dan dijangka 'trend' berkenaan akan terus berkembang sepanjang tahun ini sekali gus membuka ruang kepada keupayaan teknologi sedia ada.

Namun, peningkatan trend berkenaan pastinya membuka sisi lain apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab akan cuba memanipulasi peluang berkenaan dengan memperdayakan pengguna dengan pelbagai kaedah.

#ITMetro minggu ini memberikan beberapa tips penting kepada pengguna untuk menjadi pembeli bijak terutamanya ketika berurusan secara atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Guna aplikasi e-dagang yang memberi perlindungan kepada pembeli

Ia adalah 'Golden Rules' untuk setiap pengguna yang mahu membeli sebarang produk, barangan atau apa saja secara atas talian.

Laman e-dagang yang sudah terkenal atau dikenali mempunyai polisi ketat dalam perlindungan hak pengguna dan sebarang kesilapan atau kerosakan barangan, pengguna boleh mengemukakan tuntutan dan mendapat gantian atau pengembalian wang.

Walaupun tidak dinafikan memang wujud penjual tidak bertanggungjawab namun mereka tidak akan mudah memperdayakan pelanggan.

Penulis sendiri mempunyai pengalaman apabila membeli satu jenama produk menerusi sebuah laman dagang namun tatkala produk berkenaan sampai di tangan, ia adalah jenama pendua dan bukannya asli.

Berikutan itu, penulis mengemukakan aduan kepada laman dagang terbabit dan mendapat semula pengembalian wang dan bukti produk berkenaan mengakibatkan akaun penjual itu dipadam dalam laman dagang terbabit.

Pembayaran atas talian menggunakan laman web selamat

Selain daripada menggunakan platform laman dagang dikenali, pengguna juga perlu memastikan setiap transaksi secara atas talian menggunakan laman web selamat yang sudah mempunyai perlindungan data sensitif pengguna.

Pengguna perlu memastikan bahawa setiap transaksi berkenaan menggunakan sambungan data terkod atau enkripsi yang digunakan seperti 'Secure Sockets Layaer (SSL) dan menggunakan laman web URL 'https'.

Secara asasnya, SSL menyulitkan data supaya maklumat berkenaan tidak dapat dibaca oleh pihak ketiga yang cuba untuk melakukan rakaman pemindahan data.

Baca reviu pembeli terdahulu berkenaan penjual

Pengguna mungkin sering terlepas pandang dengan perkara ini apabila hanya melihat kepada produk yang ingin dibeli tanpa melakukan sedikit kajian berhubung reviu pembeli terdahulu dengan penjual berkenaan.

Setiap pembeli semestinya mempunyai pengalaman mereka tersendiri dan mereka akan berkongsi pengalaman berurusan dengan penjual berkenaan.

Secara keseluruhannya, pengguna boleh membuat rangkuman berhubung maklum balas negatif atau positif sebelum membuat keputusan untuk membeli dengan penjual terbabit atau mencari penjual lain yang lebih meyakinkan.

Pembeli juga kebiasaannya lebih selesa dengan penjual yang menguruskan penghantaran barangan yang pantas dan ia memberi mata bonus buat penjual.

Bagaimanapun, jika pengguna menghadapi pengalaman buruk ketika berurusan dengan penjual atau tidak mendapat produk sepatutnya, kemukakan aduan menerusi laman dagang terbabit dan anda berhak untuk mendapat perlindungan sehingga kepada pengembalian wang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 7:00 AM