HUAWEI Watch 3 menawarkan pelbagai kefungsian terkini termasuk sensor bacaan oksigen dalam darah SPO2.
HUAWEI Watch 3 menawarkan pelbagai kefungsian terkini termasuk sensor bacaan oksigen dalam darah SPO2.
Muhammad Saufi Hassan


MEMILIKI peranti pintar boleh pakai atau 'wearables' ini sememangnya satu keperluan kerana ia bukan saja boleh menjadi 'trend' pemakaian, malah mampu untuk membantu rutin harian.

Bermula daripada membaca serta menjawab mesej sehingga kepada jurulatih pintar, pengguna dapat memanfaatkan kefungsian jam pintar ini untuk kehidupan seharian.

Untuk itu, penulis mahu mencadangkan kepada pengguna untuk melihat peranti boleh pakai terbaharu keluaran Huawei iaitu Huawei Watch 3 yang mempunyai pelbagai kefungsian baharu.

Peranti pintar ini menggunakan sistem operasi HarmonyOS bersama-sama ketahanan bateri lebih tiga hari iaitu prestasi yang mengagumkan biarpun penggunaan optimum.

Paling menarik adalah jam ini turut menyokong eSim dan pengguna tidak lagi perlu membawa telefon ketika beriadah memandangkan peranti boleh pakai berkenaan mampu untuk melaksanakan kefungsian berkenaan.

Penulis cuba memakai peranti ini beberapa hari dan ia berfungsi dengan sangat baik terutamanya aspek ketahanan bateri yang bertahan lebih daripada sehari penggunaan.

Huawei Watch 3 ini dilengkapi dengan skrin pemuka daripada AMOLED sekali gus memberikan paparan lebih baik tanpa mengira tempat biarpun di bawah sinaran matahari.

Kefungsian eSim berkenaan juga banyak membantu memandangkan jika beriadah di luar, pastinya pengguna tidak mahu memberatkan poket sebaliknya cukup dengan jam atau fon telinga sebagai hiburan sampingan.

Peranti ini juga dilengkapi dengan kefungsian untuk memantau bacaan jantung termasuk kadar oksigen dalam darah menyamai fungsi oximeter yang kini menjadi perkakas wajib ada di setiap rumah.

JAM pintar Huawei Watch 3  dengan  pelbagai kefungsian baharu serta menyokong eSim.
JAM pintar Huawei Watch 3 dengan pelbagai kefungsian baharu serta menyokong eSim.

Menyentuh aspek riadah, peranti ini juga boleh berfungsi sebagai 'jurulatih pintar' kerana mengandungi pelbagai mod sukan bermula daripada senaman di dalam rumah atau 'indoor' sehingga kepada larian trek.

Skrin pemuka jam ini juga boleh ditukar atau diubah suai mengikut pilihan pengguna dengan cara mudah kerana ia dilengkapi dengan skrin sesentuh pemuka yang sensitif.

Untuk kefungsian bacaan oksigen dalam darah atau SPO2 ini, jam Huawei Watch 3 berkeupayaan untuk mengukur hasil daripada gabungan teknologi pintar di dalam peranti berkenaan.

Ia menggunakan teknologi TruSeen 4.5+ yang menggunakan sistem cahaya termaju untuk merekod bacaan oksigen dengan lebih tepat biarpun dalam keadaan suhu rendah atau altitud tinggi.

Skrin paparan itu juga akan menunjukkan bacaan degupan jantung seminit bersama-sama rekod oksigen di dalam darah yang terkini.

Jika jam pintar ini secara tiba-tiba merekodkan 'kesan jatuh' oleh pemakainya, ia akan menghantar isyarat kecemasan atau mod kecemasan.

PERANTI boleh pakai berkenaan turut mengandungi pelbagai mod rekreasi untuk pengguna.
PERANTI boleh pakai berkenaan turut mengandungi pelbagai mod rekreasi untuk pengguna.

Selain itu, pengguna juga boleh menghantar kecemasan dengan menekan butang pada peranti berkenaan sebanyak lima kali sebagai langkah alternatif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 6:20 AM