Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT gergasi pengeluar pemproses, Advanced Micro Devices (AMD) berhasrat untuk menguasai segmen pasaran permainan bagi resolusi Deifinisi Ultra Tinggi (UHD) atau 4K dalam beberapa tahun akan datang.

AMD kini sedang giat merapatkan jurang penguasaan segmen pemasaran unit pemproses grafik (GPU) menerusi produk ‘Radeon’ keluarannya dengan pesaing terdekat iaitu Nvidia menerusi pelancaran tidak siri kad baharu mereka iaitu RX5500XT, RX5600XT dan RX5700XT.

Tiga produk GPU mereka sudah berjaya merapatkan jurang penguasaan pasaran yang selama ini banyak dikuasai oleh Nvidia dan bakal melancarkan dua lagi siri baharu iaitu RX5800XT dan RX5900XT tidak lama lagi.

AMD juga optimis bahawa mereka mampu untuk mengatasi Nvidia seperti mana syarikat itu berjaya menewaskan pesaing pengeluar pemproses iaitu Intel tahun lalu apabila melancarkan siri Ryzan 3000.

Sebaik pelancaran siri Ryzen berkenaan, Intel mengakui bahawa mereka sudah ketinggalan kira-kira dua tahun teknologi berbanding AMD dan perkara sama akan dilakukan terhadap segmen GPU.

Berdasarkan kenyataan Ketua Pengurus Produk Grafik Radeon, Mithun Chandrasekhar berkata, siri Radeon 5,000 adalah sangat penting untuk AMD merapatkan jurang dengan pesaing dan daripada aspek prestasi, produk berkenaan sudah hampir menyamai beberapa produk utama Nvidia.

“Tidak mustahil untuk kami (AMD) menguasai pasaran segmen permainan bagi resolusi 4K. Kita sudah menawarkan barisan produk GPU hampir 90 peratus untuk keseluruhan peringkat pengguna bermula daripada resolusi 1080p dan 1440p.

“Produk GPU yang mampu untuk menggalas resolusi 4K akan dilancarkan tidak lama lagi, kita yakin untuk meneruskan penguasaan ini,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, AMD sudah melancarkan GPU bagi siri RX5500XT yang berjaya menandingi produk Nvidia GTX1650 dan 1660 diikuti RX5600XT untuk segmen perbandingan dengan GTX1060 dan RX5700XT hampir menyamai prestasi RTX2070 Super.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 1:07 PM