JACK Ma
JACK Ma
Afiq Hanif

Alibaba Group komited dalam menawarkan teknologi yang membantu Malaysia bergerak maju ke depan.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma, berkata matlamat utama dalam hubungannya dengan Malaysia membantu mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan inovasi, memberi kuasa kepada perniagaan kecil dan golongan belia serta memacu transformasi untuk pertumbuhan sosial dan ekonomi.

“Hubungan kami dengan Malaysia adalah penting dan matlamat kami untuk menjadi penggerak yang membantu perniagaan kecil Malaysia dan generasi muda supaya mereka dapat menguasai teknologi terkini.

“Sekali gus mendapat manfaat daripada globalisasi dengan cara yang cekap dan kos efektif memandangkan tiada sesiapa yang boleh menghentikan globalisasi, tetapi versi globalisasi Alibaba ialah untuk memastikan ia inklusif,” katanya.

Ma berkata demikian ketika menerima kedatangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan delegasi Malaysia ke ibu pejabat Alibaba di Hangzhou, China.

“Alibaba jelas memahami kehebatan teknologi terutamanya dalam meng­gunakan teknologi untuk produk pasaran global.

“Kerja yang dilakukan oleh Alibaba sangat menakjubkan dan teknologi modennya pasti boleh memberi manfaat kepada Malaysia,” kata Tun Dr Mahathir.

Antara pencapaian dalam sokongan pembangunan ekonomi digital Malaysia termasuk memulakan pembinaan hab e-pemenuhan pintar di Kuala Lumpur di bawah usaha sama CainiaoMAHB untuk membolehkan penyimpanan cepat, pemenuhan, pelepasan kastam dan operasi pergudangan.

Selain itu, Alibaba juga membuka pusat data tempatan untuk menyediakan perusahaan Malaysia pilihan tempatan untuk membina perniagaan mereka dan menjalankan aplikasi mereka pada platform ‘cloud’ global bertaraf dunia yang kukuh boleh dipercayai dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 2:05 PM