KASUT tapak rata sesuai untuk remaja gemar aktiviti lasak dan lincah
KASUT tapak rata sesuai untuk remaja gemar aktiviti lasak dan lincah
Siti Nadirah Hafidzin

REMAJA sinonim dengan emosi ceria dan gembira. Dalam mengekalkan emosi itu, pemilihan kasut memainkan peranan besar dalam mengekalkan perasaan itu.

Meskipun memilih konsep sederhana dalam berfesyen, jika digandingkan dengan kasut yang bersesuaian tentu saja tampak lebih manis dan bergaya terutama kepada remaja.

Menyentuh mengenai fesyen remaja, bukan ha­nya tertumpu pada busana yang digayakan saja malah ia turut merangkumi penampilan diri daripada soal aksesori hingga kasut.

Mana tidaknya, hampir semua golongan itu gemar bergaya dengan mengikuti arus fesyen semasa.

Mencipta kelainan dalam fesyen kasut remaja dan generasi muda, jenama theflickstore tampil dengan rangkaian koleksi kasut yang dicipta khusus bagi memenuhi kehendak golongan muda.

Pengasasnya Noor Farahida Rosli berkata, pihaknya memilih konsep ‘bergaya dengan keselesaan’ selain sentiasa mengikuti perkembangan fesyen kasut semasa bagi menarik minat remaja dan belia.

Menurutnya, atas faktor keselesaan, kebanyakan koleksi kasut didatangkan dengan rekaan tapak rata kerana remaja sinonim dengan aktiviti lasak dan lincah dalam rutin seharian.

CANTIK dan selesa.
CANTIK dan selesa.

“Antara yang menerima sambutan paling menggalakkan adalah kasut jenis platform dua inci, walaupun tinggi namun tetap dihasilkan dengan tapak rata dan sesuai untuk individu yang ‘banyak berjalan’.

“Selain rekaan, kami turut menitikberatkan soal warna dengan menawarkan pelbagai pilihan rona digemari remaja seperti hitam, krim dan warna ceria,” katanya.

Noor Farahida berkata, soal harga juga diambil kira kerana pihaknya tidak mahu membebankan pelanggan yang mana semua koleksi dijual pada harga RM35 hingga RM159.

“Kami sentiasa mencipta kelainan bagi menarik minat golongan muda bergaya dengan kasut yang cantik, terkini namun tetap selesa.

“Dalam masa sama, kami juga berusaha menghilangkan rasa ‘menyakitkan’ yang sering dihadapi semua individu apabila tersalah memilih sepatu yang akhirnya menghilangkan ‘mood’ gembira pada hari terbabit,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 5:30 AM