GUNAKAN Model 7C untuk pupuk kecerdasan emosi anak.
GUNAKAN Model 7C untuk pupuk kecerdasan emosi anak.
Intan Mas Ayu Shahimi

Apabila bercakap mengenai hal yang diberi perhatian sepanjang membesarkan anak, lazimnya ibu bapa lebih banyak memberatkan soal pencapaian dan kecemerlangan akademik. Malangnya, ini secara tidak langsung mendorong meningkatnya isu kesihatan mental.

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 yang lalu mendedahkan keadaan kesihatan mental dalam kalangan anak remaja semakin membimbangkan.

Perilaku mahu membunuh diri dalam kalangan kelompok usia remaja meningkat sejak kajian NHMS 2012. Lebih mengejutkan apabila ia dicatatkan paling tinggi berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu.

NHMS 2017 juga mendedahkan terdapat anak remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang mengalami masalah kesihatan mental. Satu dalam setiap lima orang mengalami kemurungan (18.3 peratus), dua dalam setiap lima orang dilanda simptom keresahan (39.7 peratus) dan satu dalam setiap 10 orang mengalami stres (9.6 peratus).

Menyedari senario ini, program Pengasuhan Positif (PP) kini memperjuangkan pentingnya semangat kental, sebagai salah satu faktor perlindungan yang perlu diambil kira ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

Aspek ini perlu diberi perhatian khusus demi membentuk anak yang lebih kental dan tabah dari segi emosi, sukar menyerah, bijak menangani permasalahan, sekali gus menjadikan mereka berdaya saing pada masa hadapan.

Menurut Pengerusi Program Pengasuhan Positif dan Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, peranan, perhatian dan sikap peka ibu bapa sangat penting dalam membesarkan anak yang kuat dari segi emosi.

“Seorang kanak-kanak yang mempunyai semangat kental boleh menyesuaikan diri dalam situasi sukar. Dia juga mampu bangun semula daripada kegagalan atau pengalaman yang menyebabkan trauma,” katanya.

Beliau menjelaskan hal itu secara ringkas ketika memulakan majlis dialog, Membesarkan Anak yang Kental Jiwa dan Minda Melalui Pengasuhan Positif di sini, baru-baru ini. Tiga panel jemputan yang berkongsi idea, pengalaman dan panduan adalah Pakar Perunding Perkembangan Kanak-kanak, Dr Rajini Sarvananthan; Pakar Psikologi Klinikal, Prof Madya Dr Alvin Ng Lai Oon serta Pakar Psikologi Perlakuan, Alexius Cheang.

DR Zulkifli(kiri) bersama tiga panel jemputan (dari kiri) Dr Alvin Ng, Dr Rajini dan Cheang.
DR Zulkifli(kiri) bersama tiga panel jemputan (dari kiri) Dr Alvin Ng, Dr Rajini dan Cheang.

Setuju Model 7C

Jelas Dr Rajini, kajian di Amerika Syarikat sebelum ini menunjukkan masalah kesihatan mental meningkat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja disebabkan beberapa isu. Antaranya adalah disebabkan tekanan untuk memenuhi jangkaan ibu bapa atau keluarga dan sentiasa mahu melakukan yang terbaik di sekolah.

“Saya percaya bahawa di Malaysia juga tidak banyak yang berbeza. Menilai dari sudut pandangan seorang ibu dan melihat daripada perspektif sama, saya percaya kanak-kanak serta remaja di negara ini juga berdepan tekanan yang sama.

“Malah sekiranya dibahagikan mengikut perbezaan sosial ekonomi sesebuah keluarga, mungkin tekanan yang dihadapi kanak-kanak miskin lebih besar berbanding mereka yang hidup selesa,” katanya.

Bersetuju dengan pendapat sama, Alexius Cheang berkata, ramai ibu bapa hari ini tidak sedar mereka memberi tekanan besar dalam hidup anak dengan alasan untuk jaminan masa depan yang lebih cemerlang.

“Selalunya ibu bapa memang tidak berniat menekan anak. Tetapi hakikatnya, mereka kerap membandingkan pencapaian anak sendiri dengan apa yang diperoleh anak orang lain.

“Walaupun di peringkat sekolah rendah, ibu bapa cenderung meletak jangkaan tinggi terhadap anak. Mereka mahu anak sentiasa memperoleh A dalam subjek dipelajari.

“Bagaimana dengan potensi lain? Kreativiti dan kelebihan yang sepatutnya turut dilihat ibu bapa, namun diabaikan kerana mengejar kecemerlangan akademik semata-mata. Sebab itulah anak perlu dididik menjadi seorang yang kental. Mereka perlu ada semangat yang kuat untuk berdepan desakan emosi.

“Ibu bapa pula tidak bolehlah sentiasa meletak jangkaan tinggi pada anak tanpa membantu, memberi bimbingan, nasihat dan galakan kepada mereka. Kehidupan dalam era berbeza juga tidak boleh dijadikan alasan mengapa anak kini sukar dibentuk. Pendedahan dunia mungkin berbeza, namun asuhan tetap memerlukan asas yang serupa,” katanya.

BINA hubungan positif.
BINA hubungan positif.

Oleh itu, kata Dr Rajini, terbukti jiwa dan minda yang kental memainkan peranan penting dalam membantu anak berdepan cabaran hidup hari ini dan pada masa akan datang.

Salah satu cara untuk melengkapkan keperluan itu adalah menerusi Model 7C, iaitu kecekapan (competence), keyakinan (confidence), hubungan (connection), keperibadian (character), sumbangan (contribution), menghadapi situasi (coping) dan kebolehan mengawal (control).

Kata Dr Alvin Ng pula, ibu bapa perlu berhati-hati dengan pendekatan membesarkan anak dan memberi penekanan pada empat C pertama yang disebut Dr Rajini.

“Pertama adalah soal kecekapan. Mereka perlu bimbing anak supaya mampu melakukan sesuatu dengan jaya dan cekap tidak kira dalam apa juga situasi.

“Kedua, tanamkan keyakinan dan rasa percaya diri anak terhadap kebolehannya mereka sendiri. Kemudian bina hubungan (connection) positif supaya anak boleh berinteraksi baik dengan orang di sekeliling mereka dan akhir sekali, tanamkan keperibadian mulia. Ajarkan kepada anak mengenai sifat mulia, nilai moral dan akhlak yang baik seperti kejujuran, integriti atau rendah diri,” katanya.

AJAR anak sifat mulia, moral dan akhlak yang baik.
AJAR anak sifat mulia, moral dan akhlak yang baik.

Melengkapkan model 7C, Alexius Cheang berkata, tiga C yang terakhir perlu seiring kerana mempunyai impak besar dalam kehidupan kanak-kanak. Sumbangan (contribution) umpamanya, mendidik anak-anak menjadi seorang yang bertimbang rasa.

“Adanya semangat sukarela dalam diri anak menjadikan mereka seorang yang jauh lebih baik. Mereka biasanya lebih terbuka menawarkan bantuan kepada orang lain.

“Begitu juga dengan kemahiran menghadapi situasi. Ia berkait dengan kebolehan menangani masalah atau sebarang krisis mendatang dan akhirnya adalah kebolehan mengawal nasib, diri serta ketika berdepan situasi tidak terduga.

“Jadi, ibu bapa usah beri perhatian pada kecemerlangan akademik saja. Gunakan Model 7C sebagai panduan untuk memupuk kecerdasan emosi anak. Ini adalah kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya dalam hidup apabila dewasa kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, program PP digerakkan untuk membendung masalah ini bermula dari peringkat awal dengan memperkasa peranan ibu bapa dalam mendidik anak.

“PP adalah satu inisiatif Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) yang bermula pada 2000 dan disokong badan kesihatan profesional penting seperti Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persatuan Psikologi Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Persatuan Kesihatan Malaysia (MHHA) dan banyak lagi,” katanya.

BERI galakan kepada anak untuk membina keyakinan diri mereka.
BERI galakan kepada anak untuk membina keyakinan diri mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 4:53 PM