DALAM posisi meniarap, angkat sebelah badan dan bertahan dalam kiraan 10. Lakukan untuk bahagian kiri dan kanan.
DALAM posisi meniarap, angkat sebelah badan dan bertahan dalam kiraan 10. Lakukan untuk bahagian kiri dan kanan.
Siti Nadirah Hafidzin

TANPA mengira usia, masalah utama yang membelenggu kebanyakan wanita adalah kenaikan berat badan khususnya selepas melahirkan anak. Masalah ini lebih ketara selepas usia mencecah angka 40, yang menyebabkan saiz pinggang makin melebar dan perut tampak buncit.

Ramai rimas melihat keadaan diri sendiri apatah lagi apabila pakaian disarung terasa sendat, kain tidak boleh dikancing dan banyak helaian kesayangan yang tidak dapat digayakan.

Bagi wanita, ini antara masalah utama yang boleh menjejaskan keyakinan diri. Tentu saja akan rasa kurang selesa jika ada yang mula bertanya mengapa anda semakin berisi.

Penjagaan diri yang rapi terutama melalui senaman konsisten boleh membantu mendapatkan kembali bentuk badan idaman. Ini boleh dicapai melalui senaman yang tertumpu kepada otot perut dan kaki dengan pergerakan yang optimum. Namun bagaimana caranya?

LAKUKAN posisi tekan tubi dan bertahan dalam kiraan 10.
LAKUKAN posisi tekan tubi dan bertahan dalam kiraan 10.

Menurut Jurulatih Kecergasan Bertauliah Nurina Mohamad, senaman yang memfokuskan kepada perut amat penting bagi wanita terutama yang ingin menguruskan badan.

“Ia bukan saja membantu memecahkan lemak degil bahkan dapat menguatkan otot pada bahagian abdomen. Ia juga amat sesuai dilakukan wanita yang baru melahirkan anak kerana selain membantu menguatkan otot abdomen, ia dapat mengatasi masalah buncit.

“Malah senaman secara konsisten sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dapat meningkatkan kesihatan secara keseluruhan sekali gus menurunkan berat badan,” katanya.

Nurina berkata, langkah senaman yang dilakukan juga agak sukar dan memerlukan bimbingan individu bertauliah terutamanya untuk kali pertama mencuba.

“Sekiranya senaman ini dilakukan secara konsisten, berat badan dapat diturunkan dalam tempoh sebulan. Untuk mendapat kesan yang lebih cepat, tingkatkan kekerapan melakukan aktiviti cergas lain seperti berjalan pantas atau menari, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” ujarnya.

DALAM posisi berdiri, bergerak sambil mengangkat tangan ke kiri dan kanan.
DALAM posisi berdiri, bergerak sambil mengangkat tangan ke kiri dan kanan.

Menurut Nurina, senaman itu juga mampu membantu menurunkan berat badan dengan cara paling berkesan dan selamat serta mengecilkan bahagian bermasalah wanita.

“Senaman ini membabitkan bahagian perut, paha, punggung, betis dan lengan. Apa yang penting jangan memaksa diri dengan melakukan langkah secara keterlaluan. Dengar bahasa badan sendiri, berhenti apabila anda berasa tidak selesa atau sakit. Memaksa diri boleh menyebabkan kesakitan dan kecederaan yang akhirnya membuatkan anda malas untuk bersenam,” katanya.

Nurina berkongsi langkah demi langkah melakukan senaman khusus untuk menurunkan berat badan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 6:00 AM