BERPANTANG sendiri atau di kampung?
BERPANTANG sendiri atau di kampung?
Siti Nadirah Hafidzin

Selain memikirkan hospital terbaik yang sesuai dipilih untuk bersalin, persoalan sama ada mahu berpantang sendiri atau di kampung juga sering membelenggu kebanyakan bakal ibu yang menanti saat melahirkan cahaya mata.

Baik ibu muda yang baru pertama kali menimang cahaya mata atau yang sudah berpengalaman, kedua-duanya pasti mengidamkan waktu berpantang bukan saja selesa malah tidak mencetuskan sebarang masalah terutama pada emosi diri.

Ada pendapat menyatakan berpantang sendiri di rumah dengan jagaan suami dan bidan terlatih lebih baik dan tidak membebankan ibu bapa yang sudah uzur di kampung.

Namun, ada juga yang menyangkal pendapat itu dengan beranggapan berpantang adalah saat si ibu yang baru melahirkan bayi perlu berada di sisi dan dijaga sepenuhnya oleh ibu atau ibu mentua bagi memastikan diri terjaga rapi.

Hakikatnya, kedua-dua situasi itu mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Pemilihan cara berpantang ini juga bergantung kepada keadaan si ibu dan keselesaan masing-masing.

Bagi Nur Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi yang juga bidan profesional dan terlatih, waktu berpantang sememangnya saat paling penting kepada wanita.

“Ibu perlu memikirkan cara paling sesuai dan memberikan keselesaan kepada diri serta bayinya dengan mengambil kira semua aspek berkaitan.

“Perkara ini bukan suatu yang boleh dipandang remeh kerana ia memberikan kesan jangka panjang kepada si ibu sekiranya tersilap membuat keputusan,” katanya.

Nur Qamarul Ramdhah yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang itu berkata, tidak kira apa juga pilihan, ia mestilah yang terbaik buat si ibu.

NUR Qamarul Ramdhah.
NUR Qamarul Ramdhah.

“Berpantang sendiri di rumah dengan bantuan suami sememangnya mempunyai kelebihannya kerana ia turut memastikan si suami bersama-sama dalam proses berpantang serta tidak lepas tangan dan menyerahkan tugas itu kepada orang tua semata-mata.

“Namun, sekiranya memilih berpantang di rumah, paling penting si ibu dan bayi mendapat penjagaan daripada bidan terlatih sepanjang tempoh berpantang,” ujarnya.

Menurutnya, bidan terlatih yang diupah untuk menjaga sepanjang tempoh itu akan memastikan si ibu dan bayi berada dalam keadaan baik dan pada masa sama, membantu proses penyembuhan.

“Kini terdapat pelbagai pakej disediakan untuk membantu ibu berpantang termasuk penjagaan diri selepas bersalin, berurut, menjaga bayi, memasak serta mengemas rumah, bergantung kepada pakej dipilih.

“Situasi ini juga baik untuk semua pihak kerana ia secara tidak langsung tidak membebankan kedua-dua orang tua di kampung selain memberikan keselesaan kepada si ibu kerana dapat berpantang di rumah sendiri,” katanya.

Katanya, tidak salah sekiranya pilihan dibuat untuk berpantang di rumah ibu bapa di kampung atau di rumah mentua.

“Apatah lagi apabila ibu bapa masih kuat dan dalam keadaan kesihatan yang baik namun perbincangan perlu dilakukan terlebih dulu bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Berpantang di kampung halaman juga pada dasarnya sama kerana ibu perlu melakukan rutin sama iaitu berurut, bertungku, menjaga pemakanan serta perihal diri yang diuruskan bidan terlatih,” ujarnya.

Peranan suami

Nur Qamarul Ramdhah yang menjalankan Qamar Anggun Beauty Spa & Confinement berkata, suami masa kini perlu lebih peka dan menambah ilmu mengenai penjagaan isteri selepas bersalin.

“Kebanyakan lelaki kurang pengetahuan mengenai cara menjaga isteri selepas bersalin dan ini sedikit sebanyak memburukkan keadaan.

“Namun, jika tidak tahu caranya tidak mengapa tetapi si suami perlulah membantu isteri dari segi lain terutama berkaitan emosi kerana ia amat penting dalam tempoh berpantang,” katanya.

Menurutnya, suami boleh membantu dengan melakukan tugas harian di rumah dan menjaga cahaya mata yang lain.

“Jangan sesekali membebankan isteri dengan menyuruhnya melakukan tugasan harian sama seperti sebelum berpantang dan berilah dia masa untuk berehat.

“Waktu berpantang ini amat penting kerana selain proses penyembuhan, emosi si ibu amat sensitif,” ujarnya.

Menurut Nur Qamarul Ramdhah, langkah terbaik bagi suami yang menjaga isteri berpantang di rumah, perlu mendapatkan bidan terlatih untuk sama-sama menjaga isteri dan anak yang baru dilahirkan.

PERANAN suami penting ketika berpantang.
PERANAN suami penting ketika berpantang.

“Namun sekiranya memilih menghantar isteri berpantang di kampung, seelok-eloknya ambil cuti panjang untuk berada bersama mereka sekurang-kurangnya seminggu selepas kelahiran.

“Jangan sesekali lepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada ibu bapa di kampung tanpa membantu sedikit pun kerana ia pasti memberi kesan emosi kepada isteri,” katanya.

Katanya, sekiranya tidak dapat tinggal di kampung dalam tempoh lama, suami perlulah lebih prihatin dengan sering menghubungi isteri dan ibu bapa di kampung.

“Sifat prihatin itu pasti dapat mengurangkan tekanan si isteri yang sering kurang tidur menjaga bayi yang baru dilahirkan.

“Apa juga pilihan dibuat, fikirlah mengenai keselesaan dan kesihatan ibu yang baru melahirkan dan si kecil tersayang bagi memastikan tiada masalah yang berlaku di kemudian hari terutama berkaitan kesihatan dan rumah tangga,” ujarnya.

Panduan sekiranya memilih untuk berpantang sendiri

• Menempah bidan terlatih atau tukang urut lebih awal bagi mengelak masalah tidak dapat bidan ketika waktu berpantang. Berbincanglah antara suami dan isteri mengenai tempoh penjagaan mengikut keselesaan dan bajet anda.

• Mengambil pembantu sementara sekiranya mampu untuk membantu pengurusan rumah seperti mencuci pakaian dan mengemas rumah, ini mungkin penting bagi satu hingga dua minggu pertama selepas kelahiran kerana anda belum cukup kuat untuk melakukan tugasan rumah. Namun sekiranya si suami mahu melakukan semua tugasan itu, pasti ia lebih menjimatkan dan menggembirakan.

• Menghantar anak lain ke taska atau pengasuh jika perlu. Sekiranya anda mempunyai anak lain yang masih kecil, lebih elok dihantar ke taska atau pengasuh pada waktu siang. Ini bagi mengelak berlaku­nya tekanan sekiranya mereka meragam kerana kanak-kanak kecil masih tidak dapat memahami keadaan.

• Membeli barang dapur secara berkala (mingguan atau bulanan) atau mengikut keperluan. Untuk tujuan ini, pastikan senarai barang yang hendak dibeli disediakan kerana ia memudahkan suami. Kini segalanya di hujung jari dan anda boleh membuat tempahan secara dalam talian saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 11:25 AM