ELEMEN hijau menjadi pilihan pada suasana luar spa.
ELEMEN hijau menjadi pilihan pada suasana luar spa.
HM Digital

Sesekali dapat berkunjung ke spa kecantikan bagi memanjakan kulit badan dan wajah pasti mengujakan apatah lagi selepas berhari-hari keletihan menguruskan tugasan di pejabat ataupun di rumah.

Lebih menarik apabila pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan mampu memenuhi kehendak diri yang mahu mengurangkan sedikit keletihan di samping mengembalikan seri kulit.

Menawarkan teknik penyembuhan dan rawatan purba, tidak sia-sia berkunjung ke The Spa, The Club Saujana Resort. Bagi individu yang sering tercari-cari rawatan meremajakan kulit badan dan menenangkan fikiran, mungkin spa berkenaan sesuai dengan anda.

Berada di tengah hutan hujan tropika yang subur, spa berkenaan adalah lokasi terbaik mencari ketenangan dalam suasana mewah yang menampilkan empat vila peribadi dengan ruang istirehat yang luas.

Istimewanya, spa yang pernah menerima anugerah Harper’s BAZAAR Spa Award selama lima tahun sejak tahun 2012 dan Best of Malaysia Awards 2016 itu terletak hanya beberapa minit saja dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Diilhamkan menerusi persekitaran tropika yang menenangkan, dekorasi Asia dalaman spa mengetengahkan unsur semula jadi kayuan dan air.

Dekorasi menenangkan itu dirasai saat kaki melangkah masuk ke dalam spa berkenaan, sekali gus meninggalkan suasana sibuk yang ditemani dengan cahaya semula jadi dari luar.

Memasuki vila privasi yang luas, hati tertarik apabila disambut dengan kelengkapan tab rendaman yang dihiasi ukiran batu gunung berapi hitam dan bilik wap serta ruang mandi yang selesa selain kehadiran sofa untuk berehat seketika.

Setiap satu vila berkenaan berlatarbelakang–kan suasana tumbuhan hijau yang menenangkan, namun dilengkapi dengan tirai yang boleh dibuka atau ditutup untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Spa berkenaan menawarkan rawatan pilihan ritual Asia termasuk memperbaiki bentuk badan, mandian dan urutan. Falsafah timur yang mengambil pendekatan holistik pada ‘badan, minda dan semangat’ mengilhamkan bak rawatan eksotik bali, India dan negara Timur.

Ia turut mempengaruhi pilihan produk, rawatan dan kaedah yang digunakan bagi memastikan setiap masalah yang dihadapi pengunjung dapat diatasi dengan cara berkesan.

Ada juga teknik menggunakan batu sungai yang dipanaskan ketika urutan membantu memberi kelegaan, mengurangkan stres mengatasi masalah tekanan pada otot yang tegang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 7:17 AM