BOM tangan serupa ditemukan semasa pencarian rakan sekerja yang berkenaan dan dikatakan berpangkat kolonel. FOTO Media Ukraine
BOM tangan serupa ditemukan semasa pencarian rakan sekerja yang berkenaan dan dikatakan berpangkat kolonel. FOTO Media Ukraine
Agensi

Kyiv: Bom tangan yang diberikan sebagai hadiah hari jadi meletup dan membunuh seorang pembantu rapat kepada Ketua Angkatan Tentera Ukraine, Jeneral Valery Zaluzhny.

BBC melaporkan, Mejar Hennadiy Chastyakov, 39, pulang ke flatnya dengan membawa hadiah daripada rakan sekerjanya dan ketika sedang membuka 'hadiah' itu bersama anaknya, bom tangan itu meletup.

Mejar Chastyakov terbunuh dan anak lelakinya yang berusia 13 tahun, parah.

Menteri Dalam Negeri Ihor Klymenko berkata, budak lelaki itu memusingkan 'cincin' pada bom tangan.

"Kemudian, anggota tentera berkenaan mengambil bom tangan daripada anaknya itu dan menarik 'cincin' itu menyebabkan letupan tragis," katanya.

Pendakwa raya menjelaskan Mejar Chastyakov mengaktifkan bom tangan itu secara tidak sengaja ketika cuba merampasnya daripada anaknya.

Letupan itu disifatkan sebagai 'kemalangan tragis' dan Menteri Dalam Negeri itu merayu orang ramai untuk menunggu hasil siasatan rasmi.

Polis berkata, letupan di flat di Chaiky di pinggir barat Kyiv itu adalah akibat kecuaian pengendalian bahan letupan.

Tetapi tidak lama kemudian, lima lagi bom tangan dikesan di flat itu dan Klymenko berkata, ia adalah hadiah daripada rakan sekerja dalam tentera.

Selepas itu, dua lagi bom tangan serupa ditemukan semasa pencarian rakan sekerja berkenaan dan individu itu dikatakan berpangkat kolonel.

Gambar dari tempat kejadian menunjukkan bom tangan lain di lantai flat itu, bersama beg hadiah lain. Chastyakov nampaknya membawa pulang bom tangan di dalam beg yang turut berisi sebotol wiski.

Laporan lain mengatakan bahawa rakan sekerjanya menyerahkan botol itu dengan berkata: "Sukar untuk mengejutkan anda: Itulah sebabnya saya memberi anda bom tangan tempur dan sebotol wiski yang baik."

Jeneral Zaluzhny yang memberikan reaksinya berkata, kematian Mejar Chastyakov sebagai satu kehilangan besar kerana sangat dipercayai terutama sejak permulaan pencerobohan berskala penuh Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 12:38 PM