Anggota tentera menjumpai empat beradik yang hilang selama 40 hari di hutan Amazon. - FOTO AFP
Anggota tentera menjumpai empat beradik yang hilang selama 40 hari di hutan Amazon. - FOTO AFP
AFP

Paris: Kerajaan Colombia sedang menjalin kerjasama dengan penerbit Britain, Simon Chinn untuk membuat dokumentari mengenai empat kanak-kanak Orang Asli yang terselamat selama 40 hari bersendirian di Amazon selepas nahas pesawat yang mengorbankan ibu mereka, kata presiden negara itu pada Jumaat.

Gustavo Petro, yang menghadiri sidang kemuncak iklim di Paris berkata, dia mengadakan "pertemuan pertama" dengan Chinn, pemenang Oscar dua kali untuk dokumentari "Man on Wire" (2008) dan "Searching for Sugar Man" (2012) .

Empat beradik itu, Lesly (13), Soleiny (9), Tien Noriel (5) dan Cristin berusia setahun -- adalah antara yang terselamat dalam nahas pesawat kecil di Amazon pada 1 Mei lalu.

Ketiga-tiga orang dewasa di atas kapal, termasuk ibu mereka, meninggal dunia.

Ia memerlukan tenaga hampir 200 tentera dan penyelamat Orang Asli dengan anjing pencari selama 40 hari untuk mengesan kanak-kanak itu dalam keadaan hutan yang sukar.

Pada Khamis, Petro menerbitkan gambar di mana dia muncul bersama Chinn; seorang wartawan untuk televisyen Channel 4 Britain, Guillermo Galdos; dan pengarah televisyen untuk penyiar negara Colombia RTVC, Hollman Morris.

Petro berkata RTVC akan bekerjasama dengan Lightbox, sebuah syarikat pengeluaran yang diasaskan oleh Chinn, untuk menceritakan kisah "Operation Hope," nama untuk operasi pencarian besar-besaran itu.

"Kami perlu bercakap dengan keluarga, dengan masyarakat Orang Asli (dan) membuka arkib imej," kata Petro kepada wartawan.

Penemuan beberapa barangan kanak-kanak di sekitar pesawat itu mencetuskan pencarian membabitkan komando tentera elit dan bomoh Orang Asli yang akhirnya membimbing penyelamat ke tempat di dalam hutan di mana adik-beradik itu berkumpul pada 9 Jun lalu.

Mereka berada di tempat perlindungan sementara, kurang berat badan dan dehidrasi. Mereka terselamat hasil makan buah-buahan liar dan kepintaran Lesly, yang menggunakan botol soda untuk mengumpul air untuk diminum.

Kesemua kanak-kanak itu pulih kembali selepas mendapat rawatan di hospital tentera di Bogota.

Mereka juga menunjukkan peningkatan dalam selera makan, penambahan berat badan dan toleransi yang mencukupi terhadap pengambilan makanan, kata pusat perubatan itu minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 5:35 PM