MANUEL Ranoque, bapa kepada kanak-kanak yang terselamat dalam nahas pesawat di hutan Amazon, ditahan atas dakwaan penderaan. FOTO Pejabat pendakwa raya Colombia/ AFP.
MANUEL Ranoque, bapa kepada kanak-kanak yang terselamat dalam nahas pesawat di hutan Amazon, ditahan atas dakwaan penderaan. FOTO Pejabat pendakwa raya Colombia/ AFP.
Agensi

Bogotá: Polis Colombia menahan bapa kepada kanak-kanak yang terselamat dalam nahas pesawat di hutan Amazon, Mei lalu atas dakwaan mendera mendiang isterinya.

Pejabat pendakwa raya Colombia mengesahkan penahanan Manuel Ranoque, bapa kepada dua kanak-kanak lelaki berusia setahun dan empat tahun dalam nahas itu, serta bapa tiri kepada dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 13 tahun.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran penahanan, namun media melaporkan lelaki itu ditahan atas dakwaan penderaan rumah tangga.

Pengarah Institut Kebajikan Keluarga Colombia, Astrid Eliana Caceres berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa susulan perkara itu.

"Kami sudah dimaklumkan mengenai penahanan bapa kanak-kanak terbabit dan kami percaya pejabat pendakwa raya bertindak dalam rangka kerja penuh perundangan," katanya seperti dilapor Mirror.

Ranoque berebut hak penjagaan dua anak kandungnya dengan datuk nenek mereka.

Dalam nahas berkenaan, pesawat membawa Lesly Jacombaire Mucutuy, 13; Soleiny Jacombaire Mucutuy, 9; Tien Noriel Ranoque Mucutuy, 4; dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy, 1; bersama ibu mereka dan dua dewasa lain terhempas di pedalaman Colombia.

Empat beradik itu meredah hutan selama 40 hari dan hidup dengan memakan buah-buahan, akar dan tumbuhan.

Menurut Lesly, ibu mereka meninggal dunia empat hari selepas nahas itu.

Semua mereka kini di bawah jagaan agensi perlindungan kanak-kanak Colombia sejak keluar hospital selepas pulih daripada kekurangan zat makanan dan penyakit lain.

Datuk kanak-kanak Orang Asli Huitoto itu, Narciso Mucutuy menuduh Ranoque memukul anak perempuannya, Magdalena Mucutuy yang juga ibu empat beradik terbabit.

Sebelum pihak berkuasa mengesahkan penahanan itu, Ranoque mengaku kepada wartawan bahawa terdapat sedikit masalah di rumahnya, tetapi menganggap ia masalah peribadi keluarga dan bukan 'gosip' untuk seluruh dunia.

Apabila ditanya sama ada dia menyerang isterinya, Ranoque menjawab, "secara lisan yang tiba-tiba, ya. Secara fizikal, sangat sedikit."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 12:01 PM