BUDAK lelaki memakai pelindung dan pelitup muka yang tiba dengan pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong, di lapangan terbang di British Columbia, Kanada. FOTO AP
BUDAK lelaki memakai pelindung dan pelitup muka yang tiba dengan pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong, di lapangan terbang di British Columbia, Kanada. FOTO AP
BERNAMA

London: Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu bersetuju "menyelaraskan pendekatan langkah berjaga-jaga" berikutan lonjakan jangkitan Covid-19 di China, baru-baru ini, dengan mencadangkan pelancong dari negara itu mengemukakan keputusan ujian negatif Covid-19.

"Negara anggota digalak untuk meminta semua penumpang dari China yang menuju ke negara anggota supaya menunjukkan keputusan ujian negatif Covid-19 yang diambil tidak lebih 48 jam sebelum berlepas dari China," menurut Presiden Majlis EU dari Sweden dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat kumpulan bersepadu respons krisis politik (IPCR).

Menurut kenyataan itu, negara anggota juga sepakat mengesyorkan kepada semua penumpang dalam penerbangan ke dan dari China supaya memakai pelitup muka selain perlu mematuhi langkah-langkah kebersihan dan protokol kesihatan, lapor Agensi Anadolu.

Langkah-langkah yang diperkenal itu akan disemak semula oleh negara anggota menjelang pertengahan Januari.

China menyaksikan lonjakan jangkitan selepas melonggarkan dasar ketat 'sifar Covid' pada bulan ini.

Beijing juga memutuskan untuk membatalkan kuarantin wajib lima hari ke atas semua ketibaan mulai 8 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 3:10 PM