KEBAKARAN di Mariupol susulan pencerobohan tentera Rusia di Ukraine. FOTO Reuters
KEBAKARAN di Mariupol susulan pencerobohan tentera Rusia di Ukraine. FOTO Reuters
AFP

Warsaw: Enam singa dan enam harimau yang dipindahkan dari Kyiv, Ukraine, akhirnya tiba di sebuah zoo di Poland, pada Khamis.

Jurucakap zoo melaporkan, perjalanan membawa haiwan itu mengambil masa dua hari kerana perlu melalui barisan hadapan pertempuran dan berdepan dengan kereta kebal Rusia.

Sebuah trak Ukraine memandu haiwan itu, bersama dua kucing liar dan seekor anjing liar, hampir 1,000 kilometer ke sempadan Poland.

Jurucakap Malgorzata Chodyla memberitahu AFP kenderaan itu mengelak wilayah Zhytomyr, yang dibom tentera Rusia .

Pada satu ketika, trak itu terpaksa berhenti semalaman di kawasan bertentangan dengan kereta kebal Rusia.

Pemandu itu berehat di bawah kenderaannya, manakala pemilik tempat perlindungan Ukraine memberi makan haiwan berkenaan.

Di sempadan, haiwan itu dipindahkan ke trak milik Poland, manakala pemandu Ukraine pulang ke rumah kepada anak-anaknya.

Buat masa ini, haiwan berkenaan akan dijaga di zoo Poznan.

Sementara itu, Pengarah Zoo Ewa Zgrabczynska, yang membantu mengatur pemindahan berkata, dia sudah berhubung dengan beberapa organisasi barat yang mahu mengambil haiwan itu.

Dia juga melancarkan usaha mengumpul dana kerana bandar Poznan yang menguruskan zoo kekurangan bajet untuk haiwan yang dipindahkan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 3:54 PM