Althing, bangunan parlimen Iceland. FOTO Agensi
Althing, bangunan parlimen Iceland. FOTO Agensi
AFP

Reykjavik: Buat pertama kalinya di Eropah, lebih separuh daripada kerusi di parlimen baru Iceland diduduki wanita, berdasarkan keputusan penuh pilihan raya yang diumumkan hari ini.

Daripada 63 kerusi di Althing, 33 dimenangi wanita atau yang mewakili 52 peratus, menurut jangkaan yang dikeluarkan berdasarkan keputusan penuh.

Tidak ada negara Eropah lain yang merekodkan lebih 50 peratus penguasaan ahli parlimen wanita, walaupun Sweden mencatatkan jumlah terhampir iaitu 47 peratus, menurut data yang dikumpul Bank Dunia.

Ketika ini, lima negara di dunia memiliki parlimen yang mencatatkan penguasaan wanita dengan sekurang-kurangnya separuh daripada kesemua kerusi, iaitu Rwanda (61 peratus), Cuba (53 peratus), Nicaragua (51 peratus) serta Mexico dan Emiriah Arab Bersatu (50 peratus).

Tidak seperti negara lain, Iceland tidak menetapkan kuota wakil wanita dalam parlimen, walaupun beberapa parti meletakkan jumlah minimum calon wanita.

Iceland sekian lama menjadi pelopor kesaksamaan gender dan hak wanita serta berada di tangga teratas dalam senarai negara egalitarian selama 12 tahun di Forum Ekonomi Dunia.

Ia juga menawarkan tempoh cuti bersalin yang sama untuk lelaki dan wanita, serta undang-undang berkaitan gaji adil antara kedua-dua jantina bermula sejak 1961.

Iceland juga adalah negara pertama melantik wanita sebagai presiden pada 1980.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 7:32 PM