ANGGOTA polis menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di Sunway Pyramid Convention Centre, kelmarin.
ANGGOTA polis menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di Sunway Pyramid Convention Centre, kelmarin.
Syarifah Dayana Syed Bakri

SETAHUN yang lalu, dunia kelam-kabut dengan Covid-19.

Ketika itu, tidak banyak maklumat berkaitan virus berkenaan dapat diketahui.

Malah, setahun yang lalu iaitu pada Mac 2020 juga adalah pertama kalinya Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

Semua orang takut untuk keluar rumah. Jika keluar sekalipun, tidak lama dan tidak berani singgah ke mana-mana.

Sampai saja di rumah, terus mandi dan pakaian yang dipakai sebelum itu terus dibasuh.

Untuk mereka yang paranoid, barangan yang dibeli di pasar raya juga dibasuh berkali-kali.

Produk pembasmi kuman sangat laku sehinggakan harga yang ditawarkan melambung dek permintaan tinggi.

Setahun yang lalu juga negara lain turut berdepan situasi sama.

Sekitar pertengahan Mac 2020, sebahagian besar negara di dunia mula merekodkan peningkatan kes Covid-19.

Ada negara yang merekodkan dua digit dan ada negara sudah mencapai angka empat digit untuk kes jangkitan.

Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa Covid-19 sebagai pandemik, satu langkah yang dianggap lewat oleh segelintir pemimpin dunia.

Bagi mereka yang berlatar belakangkan sains percaya bahawa pandemik ini dapat dikawal dengan bantuan vaksin.

Maka, selepas setahun, vaksin Covid-19 mula diberikan kepada orang awam sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan ada negara mula melaksanakan kempen vaksinasi seawal Disember tahun lalu.

Keberkesanan pemberian vaksin menjadi topik utama yang dibahaskan setiap hari kerana seluruh penduduk dunia pasti ingin tahu adakah vaksin benar-benar mampu membantu kita kembali kepada kehidupan seperti sebelum ini.

AFP melaporkan, individu di Amerika Syarikat (AS) yang sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 boleh berkumpul di dalam bangunan bersama-sama orang lain yang sudah divaksin, tanpa perlu memakai pelitup muka.

Ia dinyatakan dalam garis panduan terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu, yang dikeluarkan baru-baru ini.

Mereka yang sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 juga boleh melawat individu yang belum divaksin dari isi rumah yang berlainan, tanpa memakai pelitup muka dan tidak perlu mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, Pengarah CDC, Rochelle Walensky berkata, kelonggaran itu hanya terpakai untuk bertemu individu yang belum divaksin, tetapi tidak berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 serius.

Setakat ini, hampir 60 juta penduduk AS sudah menerima suntikan satu dos atau lebih iaitu kira-kira 23 peratus daripada populasi dewasa di negara itu.

Bagaimanapun, CDC terus mengesyorkan supaya individu yang sudah menerima imunisasi lengkap untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal di tempat umum atau ketika bersama individu dari isi rumah berlainan di dalam bangunan sama.

Ini kerana jumlah liputan vaksinasi masih belum mencukupi untuk membina imuniti kelompok.

Malaysia ketika ini masih berada di fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) yang keutamaannya diberikan kepada kakitangan barisan hadapan.

Maka, jumlah liputan imunisasi untuk negara kita masih rendah dan kerana itu tidak hairanlah kita masih perlu mengamalkan norma baharu.

Sekiranya fasa pertama dan kedua sudah selesai sekalipun, saya yakin kita masih perlu memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

Namun, adakah kita akan berterusan hidup dengan memakai pelitup muka selepas ini? Saya yakin tidak.

Lihat saja apa yang dilakukan AS selepas sebahagian rakyatnya sudah menerima vaksin.

Itulah yang kita akan tempuhi tidak lama lagi. Syaratnya mudah saja, pastikan kita melaksanakan tanggungjawab dengan mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Jika ada yang sengaja menolak dan jumlahnya ramai, maka kita juga perlu reda untuk berterusan mengenakan pelitup muka dan menempuh beberapa lagi episod PKP pelbagai jenis.

Sebaik-baiknya kita semua ambil tanggungjawab ini seperti peribahasa - sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:30 AM