GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bernama-KYODO

Tokyo: Seramai 14 pelajar di sebuah sekolah tinggi Tokyo dibawa ke hospital semalam selepas jatuh sakit akibat memakan kerepek kentang yang sangat pedas, lapor agensi berita Kyodo memetik pihak berkuasa tempatan.

Panggilan kecemasan dibuat sekitar jam 12.40 tengah hari, selepas 13 perempuan dan seorang lelaki, semua pelajar tahun satu, di Sekolah Menengah Rokugo Koka di Wad Ota Tokyo mengadu loya, serta sakit perut dan mulut, menurut Jabatan Bomba Tokyo dan polis tempatan.

Kesemuanya dipercayai mempunyai simptom ringan.

Kira-kira 30 pelajar telah memakan kerepek yang sangat pedas, berlabel "18+ kerepek kari," yang dibawa ke sekolah oleh salah seorang pelajar, kata polis.

Isoyama Corp, syarikat yang berpangkalan di Ibaraki yang mengeluarkan kerepek itu berkata walaupun ia tidak mempunyai butiran mengenai perkara itu, ia "mengharapkan pemulihan segera bagi mereka yang dilaporkan berasa tidak sihat."

Di laman web rasminya, syarikat itu "melarang" mereka yang berumur bawah 18 tahun daripada memakan kerepek itu kerana kepedasan yang melampau dan menggesa penggemar rempah untuk makan dengan berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:07 PM