GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Enam orang iaitu tiga lelaki dan tiga wanita, ditemukan maut di sebuah bilik hotel terkemuka di kawasan Ratchaprasong di sini, semalam dipercayai akibat keracunan.

Mangsa dilaporkan dua warga Amerika Syarikat berketurunan Vietnam, manakala empat lagi adalah warga Vietnam.

Dalam respons segera, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Jeneral Polis Porsak Sukvimol untuk menyiasat kes itu dengan segera dan menyeluruh, serta mengambil alih kawalan situasi bagi memastikan tiada kesan buruk atau bahaya kepada orang awam dan pelancong.

Bercakap kepada media di lokasi kejadian pada malam Selasa, Srettha berkata, mayat itu ditemukan pada 4.30 petang.

Beliau berkata, siasatan awal oleh polis menunjukkan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 24 jam disyaki akibat keracunan kerana tiada tanda-tanda trauma atau rompakan.

Srettha yang diiringi Torsak berkata, beliau juga telah memberi taklimat kepada Duta Vietnam ke Thailand, Pham Viet Hung mengenai kes itu.

Polis Thailand sedang menyiasat kes dengan meneliti rakaman CCTV dan menemubual saksi untuk menentukan punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 9:25 AM