GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Beijing: Seorang wanita juga ibu di China dilaporkan mengalami serangan jantung dan strok ketika membantu anaknya menyiapkan kerja sekolah subjek Matematik.

Oddity Central melaporkan, kejadian berlaku pada Januari ketika Dong iaitu ibu dua anak berusia 40 tahun dari Hangzhou, sedang membantu salah seorang anak lelakinya membuat kerja sekolah.

Dong dipercayai hilang sabar kerana kanak-kanak itu tidak faham cara menyelesaikan masalah dalam kerja sekolah itu.

Tidak lama selepas itu, Dong mengalami sakit kepala sebelum muntah.

Dong cuba berbaring selama beberapa jam, tetapi keadaannya bertambah teruk kemudian ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), Dong dikesan mengalami pendarahan subarachnoid, strok kecil kemungkinan besar disebabkan oleh tekanan jangka panjang yang berterusan.

Pada 2019, kejadian hampir serupa berlaku apabila seorang ibu berusia 36 tahun mengalami serangan jantung selepas anaknya tidak dapat menyelesaikan masalah Matematik.

Tahun berikutnya, seorang lelaki Cina berusia 45 tahun pula dilaporkan mengalami serangan jantung.

Ia berlaku selepas lelaki itu berang ketika membantu anaknya membuat kerja sekolah.

Sejak itu, kisah ibu bapa yang mengalami strok dan serangan jantung ketika membantu ana mereka membuat kerja sekolah menjadi perkara biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 10:24 AM