ORANG menaiki treler yang ditarik traktor di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
ORANG menaiki treler yang ditarik traktor di Rafah, selatan Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Washington: Tiada tempat selamat di Semenanjung Gaza, termasuk kawasan yang mengibarkan bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata seorang jurucakap yang memberi amaran pada Selasa.

"Mari kita jelaskan. Tiada zon selamat yang ditetapkan PBB di Gaza. Semua rakan sekerja kanan saya sangat jelas, termasuk Setiausaha Agung (Antonio Guterres) mengatakan tiada tempat selamat di Gaza," kata Stephane Dujarric kepada pemberita memetik Agensi Anadolu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memberitahu orang ramai untuk ke lokasi ditetapkan PBB yang terdapat dalam senarai Israel sebagai zon bukan terbabit konflik dan tidak sepatutnya menjadi sasaran kempen ketenteraan

"Ia adalah tempat perlindungan yang mengibarkan bendera PBB.

"Ribuan orang, lelaki, wanita dan kanak-kanak cuba untuk terus hidup dan mendapatkan makanan atau mendapatkan air.

"Kami lihat, sejak permulaan konflik itu, tempat yang mengibarkan bendera PBB juga tidak selamat," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan jurucakap Israel yang mendakwa mereka membunuh dua orang awam Palestin bagi setiap anggota Hamas di Gaza akan menjadi nisbah sangat positif, Dujarric berkata, PBB tidak mewujudkan nisbah seperti itu

Sekurang-kurangnya 15,899 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 42,000 cedera sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hamas, pada 7 Oktober lalu.

Data rasmi merekodkan angka kematian Israel berjumlah 1,200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 10:49 AM