FOTO pada 9 November menunjukkan ambulans menunggu untuk dihantar ke lintasan Rafah di sebelah Mesir, bagi mengambil penduduk Gaza yang cedera.  FOTO Reuters
FOTO pada 9 November menunjukkan ambulans menunggu untuk dihantar ke lintasan Rafah di sebelah Mesir, bagi mengambil penduduk Gaza yang cedera. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir dibuka semula pada Khamis (semalam) untuk membenarkan bilangan terhad orang yang cedera dan pemegang pasport asing keluar dari zon perang, kata seorang pegawai Palestin kepada AFP.

Sebahagian besar daripada 2.4 juta penduduk Gaza tidak dapat keluar dari zon perang sejak konflik yang meletus antara Hamas dan Israel pada 7 Oktober lalu.

Pengarah media lintasan di sebelah Palestin berkata, Rafah dibuka semula untuk memindahkan individu yang cedera, selain bagi warga asing keluar dan membolehkan trak bantuan masuk ke Gaza.

Seorang jurugambar AFP di sebelah Mesir melihat orang cedera di atas pengusung dipindahkan ke ambulans, manakala terdapat kanak-kanak dan orang dewasa berjalan melintasi sempadan.

Lintasan itu digantung operasinya dengan penutupan buat kali kedua pada Rabu lalu kerana Israel enggan meluluskan senarai orang yang cedera untuk dipindahkan. Senarai itu dihantar oleh kerajaan Hamas ke Mesir.

Laluan itu sebelum ini ditutup pada 3 dan 4 November atas sebab sama.

Lebih 2,000 orang dengan pasport asing memasuki Mesir bulan ini, menurut pihak berkuasa lintasan di sebelah Palestin.

Dalam tempoh sama, 107 individu cedera, 13 penghidap kanser dan 90 pesakit dapat meninggalkan Gaza.

Kementerian Kesihatan di Gaza memberi amaran pada Khamis bahawa pemindahan berlaku terlalu perlahan.

"Sebilangan besar kes serius mesti pergi keluar segera sebelum mereka kehilangan nyawa mereka sementara menunggu," kata satu kenyataan kementerian itu.

Kira-kira 26,905 orang cedera semasa perang di Gaza dan 10,812 terbunuh, majoriti orang awam, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Israel tidak henti-henti menyerang Gaza susulan serangan 7 Oktober oleh pejuang Hamas yang mengorbankan lebih 1,400 orang di pihak Israel, menurut pegawai rejim zionis Tel Aviv.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 10:19 AM