POLIS menemukan mayat gadis itu dibungkus dalam beg sampah dan tertimbus di bawah lantai dapur. FOTO The Nation
POLIS menemukan mayat gadis itu dibungkus dalam beg sampah dan tertimbus di bawah lantai dapur. FOTO The Nation
Agensi

Bangkok: Gara-gara tidak suka dengar tangisan bayi, seorang bapa tergamak membunuh lima anaknya dalam tempoh 10 tahun lalu.

Suspek, Songsak, 46, memiliki 10 anak berusia antara enam bulan hingga 22 tahun hasil perkahwinan dengan empat isterinya.

Dia ditahan pada 10 September lalu selepas pempengaruh media sosial, Kanthas Phongphaibulwet melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak di sebuah apartmen di daerah Bang Khen, Bangkok.

Songsak mengaku membunuh anak perempuannya yang berusia dua tahun itu, selain membunuh empat anak lelakinya antara 2013 hingga 2018, lapor Bangkok Post.

Keempat-empat kanak-kanak lelaki itu dilaporkan berusia kurang setahun ketika mereka dibunuh sebelum mayat mereka dibuang di sekitar Bangkok, lapor saluran berita Thaiger.

Polis turut membebaskan dua anak perempuan lelaki itu berusia empat dan 12 tahun yang dilaporkan dikurung di sebuah bilik air pangsapuri itu.

Polis mengesahkan, kanak-kanak berusia empat tahun itu kehilangan penglihatannya akibat penderaan fizikal.

Polis menemui mayat budak perempuan itu pada Selasa lalu yang dibungkus dalam beg sampah dan ditanam kira-kira 70 sentimeter (sm) di bawah tanah di rumah wanita bernama Sunan iaitu isteri ketiga lelaki itu, lapor The Nation.

Songsak mengaku kepada polis, dia dan Sunan membunuh anak perempuan berusia dua tahun di apartmen itu, pada Mei lalu.

Pasangan itu berkata, mereka menanam mayat anak itu di bawah lantai dapur di rumah Sunan di Kamphaeng Phet.

Songsak dilaporkan berkata, dia benci bunyi bayi menangis, selain menerima rawatan bagi masalah kesihatan mentalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 12:47 PM