COCO Lee. FOTO AFP
COCO Lee. FOTO AFP
Dennis Chua


Hong Kong: Penyanyi pop Amerika Syarikat kelahiran Hong Kong, Coco Lee dilaporkan meninggalkan harta bernilai RM128.3 juta kepada ibunya yang berusia 86 tahun.

Portal hiburan Hong Kong HK01 melaporkan, Coco yang meninggal dunia 5 Julai lalu pada usia 48 tahun memiliki tujuh hartanah di Hong Kong, iaitu rumah agam dan bangunan komersial di daerah mewah di sini.

Portfolio hartanahnya dilaporkan bernilai HK$220 juta (kira-kira RM128.3 juta).

Daripada tujuh hartanah itu, empat daripadanya dimiliki Coco bersama ibunya.

Salah satu hartanah didaftarkan di bawah nama Coco, ibunya dan dua adik perempuannya iaitu Carol dan Nancy.

Salah satu rumah Coco adalah rumah agam mewah di Barker Road di sini. Ia disenaraikan di pasaran dengan harga HK$3.5 juta (kira-kira RM2.1 juta) pada 1988, tetapi kini bernilai HK$60 juta (kira-kira RM35 juta).

Syarikat Coco bersama ibunya juga memiliki dua unit di bangunan pejabat komersial. Ia dibeli pada 2011, dan kini mempunyai nilai pasaran HK$12 juta (kira-kira RM7 juta).

Coco dan ibunya juga memiliki tiga rumah di Central Mid-Levels, bernilai kira-kira RM242 juta.

Ahli perniagaan China, Song Zude mendakwa suami Lee, Bruce Rockowitz yang juga ahli perniagaan akan mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut bahagian asetnya.

Bagaimanapun, Coco dipercayai menandatangani surat ikatan jangka panjang yang menyatakan bahawa semua hartanya akan dipindahkan secara automatik kepada ibunya selepas meninggal dunia.

Terdahulu, Coco dimasukkan ke hospital, selepas cuba membunuh dirinya sendiri sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Coco dilaporkan mengalami kemurungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi keadaannya merosot secara drastik sejak beberapa bulan lalu menurut adik-beradiknya, Carol dan Nancy dalam hantaran di Instagram (IG).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 12:00 PM