TATU dilukis suspek dipercayai tanpa kerelaan mangsa. FOTO Agensi
TATU dilukis suspek dipercayai tanpa kerelaan mangsa. FOTO Agensi
Agensi

Seoul: Seorang remaja berusia 16 tahun dari Korea Selatan bertindak keterlaluan selepas didakwa membuli dengan melukis tatu pada badan dua rakan sekolahnya.

Oddity Central melaporkan, kes buli itu mendapat perhatian dan menjadi tajuk utama berita di Korea Selatan hingga mencetuskan kemarahan ibu bapa.

Jabatan Polis Incheon Nonhyeon mengesahkan sedang menyiasat kes buli dengan pelaku didakwa melukis tatu secara paksa pada dua remaja yang lebih muda sebagai cara menjenamakan mereka dan melatih kemahiran mencacah tatunya.

Ibu bapa mangsa pertama memfailkan aduan pada Mac selepas secara tidak sengaja menemui tatu besar dan berdakwat amatur di kaki anak lelaki mereka.

Selepas bertanya dengan remaja lelaki itu, ibu bapanya mendapati mangsa dicacah tatu secara paksa oleh rakan sekolah sejak dua tahun lalu.

Mangsa berumur 15 tahun yang tidak disebutkan namanya itu memberitahu polis bahawa suspek memanggilnya di sebuah motel di Incheon pada Oktober tahun lalu kemudian terus melukis tatu pada badannya tanpa kerelaannya.

Mangsa mendakwa suspek sama yang memukulnya dan mengambil wangnya sejak dua tahun lalu hingga dia tiada pilihan selain menyerah serta membiarkannya melukis tatu ikan kap sepanjang 22 sentimeter (sm) pada kakinya.

Selepas dakwaan terhadap suspek dibongkar dalam akhbar, seorang lagi remaja berusia 15 tahun tampil dengan cerita sama.

Pembuli yang sama didakwa melukis tatu kepadanya pada bulan lalu, meninggalkannya dengan (tatu) yang lebih besar di dada kiri, bahu dan lengan.

Ibu bapanya menemui tatu itu dan melaporkannya kepada polis tetapi kegiatan buli itu berterusan.

Mangsa nampaknya sangat ketakutan sehingga dia enggan hadir ke sekolah lagi dan memerlukan terapi selama enam bulan.

Keluarga itu juga memasang pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) kerana remaja lelaki itu yakin bahawa pembuli akan datang untuknya.

Sementara itu, suspek didakwa menafikan tuduhan kedua-dua mangsa, mendakwa mereka bersetuju dengan tatu itu.

Keluarganya menyokong dakwaan remaja itu, sambil menambah bahawa adalah mustahil baginya untuk memaksa mereka menjalani prosedur yang menyakitkan dan panjang.

Remaja berusia 16 tahun itu kini berdepan tuduhan paksaan dan melanggar undang-undang perubatan Korea Selatan yang menyatakan bahawa tatu hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 3:36 PM