KENDRA Gail Licari. FOTO Agensi
KENDRA Gail Licari. FOTO Agensi
Agensi

Lansing: Remaja perempuan di Amerika Syarikat yang menjadi mangsa buli dalam talian selama setahun terkejut apabila mendapati pembuli itu adalah ibunya sendiri.

Daily Star melaporkan, Kendra Gail Licari, dari Mount Pleasant, Michigan, didakwa awal minggu ini selepas penyiasatan selama setahun yang membabitkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Walaupun Licari menggunakan Rangkaian Peribadi Maya (VPN) bagi mengaburi identitinya dan mengubah cara komunikasi seolah-olah ditulis oleh seorang remaja, detektif tetap dapat mengesan yang mesej itu dihantar oleh wanita berkenaan.

Selepas si anak meminta bantuan ibunya, Licari didakwa melaporkan kes buli itu kepada pihak berkuasa.

Licari juga berpakat dengan ibu kepada teman lelaki anak perempuannya ketika itu untuk 'membantu' mencari pembuli siber yang dikatakan menghantar puluhan mesej dalam sehari.

Pada mulanya, pihak berkuasa sekolah tidak dapat membantu kes itu, dan penguat kuasa undang-undang tempatan tidak mempunyai sumber untuk mengesan suspek.

"Ketika pertama kali kes diadukan ke pejabat kami, ia adalah pelik dan hampir sukar untuk dipercayai.

"Ia adalah kempen penyalahgunaan yang berterusan. Kami bercakap mengenai ratusan mesej teks, lebih 1,000 halaman dalam kes itu," kata Pendakwa Raya Daerah Isabella, David Barberi kepada stesen radio tempatan, WKRC.

Barberi berkata, kebanyakan mesej bertujuan mengganggu, merendahkan maruah, melemahkan semangat, dan hanya teks jahat.

Bagaimanapun, selepas pakar komputer dari FBI, secara positif mengenal pasti mesej itu sebagai datang dari telefon Licari, wanita itu terpaksa mengakui melakukan buli siber terhadap seorang remaja lelaki dan anak perempuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 11:43 AM