POLIS Australia menahan sebuah pesawat yang melakukan penerbangan haram dan membawa dadah. FOTO Polis Persekutuan Australia.
POLIS Australia menahan sebuah pesawat yang melakukan penerbangan haram dan membawa dadah. FOTO Polis Persekutuan Australia.
Agensi

Sydney: Sebuah pesawat ringan melakukan 'penerbangan haram' dengan membawa methamphetamine bernilai lebih AS$15 juta (kira-kira RM66 juta) dari Papua New Guinea ke Australia.

Pesawat itu yang terbang rendah bagi mengelak radar dan dipercayai dalam perjalanan ke New South Wales (NSW), Australia.

The Guardian melaporkan, pesawat ringan itu mendarat di landasan udara di bandar Monto, tengah Queensland, untuk mengisi minyak pada Selasa apabila pegawai menyerbu dan membuat lima tangkapan.

Lima lelaki dari NSW yang didakwa polis itu adalah sebahagian daripada sindiket jenayah terancang dan didakwa mengimport methamphetamine.

Mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Polis mendakwa dua lelaki menerbangkan pesawat Beechcraft enjin berkembar dari kawasan luar bandar di barat daya Sydney pada Isnin ke bandar PNG, Bulolo, di mana mereka mengambil 52 kilogram methamphetamine.

Dua juruterbang dan tiga lelaki lain yang didakwa bersubahat ditangkap pada Selasa di Monto, di mana polis merampas lima beg sandang yang didakwa mengandungi dadah.

Penolong Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia (AFP) Kirsty Schofield berkata, polis mendakwa lelaki itu cuba mewujudkan rantaian bekalan dadah terlarang ke Australia melalui PNG.

"Kami akan mendakwa lelaki itu dipercayai merancang operasi ini dengan teliti selama berbulan-bulan.

"Apa yang mereka tidak tahu ialah penguat kuasa undang-undang menjejaki mereka untuk tempoh masa yang sama," katanya.

Beliau berkata, siasatan itu adalah operasi bersama antara AFP, polis NSW dan Suruhanjaya Perisikan Jenayah Australia.

"Penerbangan haram direka untuk mengelak pengesanan dengan mencatatkan rancangan penerbangan palsu dan terbang pada ketinggian rendah atau mematikan sistem pemantauan penerbangan atau transponder," kata AFP.

"Dalam kes ini, pesawat itu terbang pada ketinggian yang sangat rendah dan transpondernya dimatikan.

"Ini sangat berbahaya untuk pesawat lain di udara tetapi juga untuk orang yang berada di dalam pesawat itu sendiri," kata Schofield.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 12:00 PM