FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

New Delhi: Rogol dan bakar. Itu nasib menimpa seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Uttar Pradesh, India.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital, menurut polis pada Selasa lalu.

Remaja dari kasta Dalit itu menjadi mangsa keganasan seksual di negara yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi terhadap wanita.

Dalit adalah kasta paling rendah dalam sistem kasta di India.

Mangsa meninggal dunia pada Isnin lalu, hanya kurang seminggu selepas dua beradik perempuan juga dari kasta Dalit, yang berusia 15 dan 17 tahun, ditemukan tergantung di pokok selepas didakwa diserang secara seksual dan dibunuh enam lelaki.

Remaja itu dipindahkan ke hospital di ibu negeri, Lucknow, dan meninggal dunia akibat kecederaan akibat kebakaran.

"Polis sudah menahan suspek dalam tempoh dua jam selepas kejadian dilaporkan.

"Kami turut memberi jaminan kepada keluarga tindakan susulan yang sewajarnya terhadap suspek akan dilakukan," kata Ketua Polis, Dinesh Kumar Prabhu.

Prabhu berkata, sejak kejadian itu, polis sudah ditempatkan di kawasan rumah mangsa untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

Dalam kes sebelum ini, keluarga dari kasta terendah diugut atau diserang untuk tidak terus memberi keterangan.

Aktivis berkata, polis gagal untuk mengambil tindakan terhadap kejadian yang dilaporkan, khususnya jika berlaku pada kasta yang rendah.

Mereka dikatakan dipinggirkan daripada menerima sebarang pembelaan dan bantuan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:07 PM