PARWATI Sunar (depan) menyanyikan lagu kebangsaan Nepal ketika perhimpunan sekolah. FOTO Reuters
PARWATI Sunar (depan) menyanyikan lagu kebangsaan Nepal ketika perhimpunan sekolah. FOTO Reuters
Agensi

Kathmandu: Walaupun usianya sudah mencecah 27 tahun, seorang wanita di Nepal tidak janggal apabila kembali menjadi murid sebuah sekolah di Sekolah Menengah Jeevan Jothi di Punarbas.

Parwati Sunar yang juga ibu kepada dua anak itu gigih meneruskan persekolahan selepas dia berhenti bersekolah kerana berkahwin ketika berusia 15 tahun.

"Saya gembira meneruskan persekolahan dan menganggap rakan sekelas sebagai anak," katanya.

Sunar yang berasal dari Punarbas sebuah kawasan di barat daya pergunungan Himalaya kini berada di gred tujuh.

"Saya tidak sepatutnya berhenti sekolah. Saya mendapat anak pertama ketika usia 16 tahun," katanya.

Anaknya, Resham, 11, gembira apabila dapat belajar bersama ibunya di sekolah sama kerana boleh makan bersama ketika sesi rehat.

Dua beranak itu juga akan menunggang basikal bersama untuk mengikuti kelas komputer di sebuah institut berhampiran.

"Kami akan berbual sepanjang perjalanan ke sekolah dan mendapat ilmu baharu menerusi perbualan," katanya.

Pengetua sekolah, Bharat Basnet berkata, Sunar seorang murid yang mempunyai keinginan tinggi untuk belajar.

Sunar menetap bersama rumah bata dengan berbumbung atap zink bersama dua anak dan ibu mentuanya.

Rutin harian mereka bermula dengan mengambil air dari perigi untuk mandi selain membela beberapa ekor kambing berhampiran rumahnya.

Suami Sunar bekerja sebagai buruh di bandar Chennai di selatan India, untuk menyara keluarga.

Mereka sekeluarga adalah dari etnik Dalit yang juga kasta paling rendah dalam sistem kasta Hindu.

Namun, Sunar berkata, dia dan keluarga itu tidak pernah berdepan layanan buruk daripada masyarakat setempat.

"Tiada sesiapa yang mendiskriminasi saya atau keluarga," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 3:19 PM