SEBUAH zoo di China menafikan sengaja menggunting rambut seekor singa jantan sehingga foto haiwan itu tular di media sosial.
SEBUAH zoo di China menafikan sengaja menggunting rambut seekor singa jantan sehingga foto haiwan itu tular di media sosial.
Agensi

Beijing: Sebuah zoo di China menafikan sengaja menggunting rambut seekor singa jantan sehingga foto haiwan itu tular di media sosial.

Portal Mirror melaporkan, singa jantan itu mempunyai potongan gaya rambut baharu yang kelihatan agak tidak kena bagi imej pemangsa paling ganas itu.

Imej mamalia itu menjadi tular di media sosial China dengan ramai yang menuduh kakitangan di Zoo Guangzhou, memotong bulu haiwan itu.

Beberapa komen dalam talian membandingkan singa itu dengan personaliti media, Joe Exotic dari program Netflix, Tiger King, manakala yang lain berkata dia menyerupai ahli The Beatles.

Tetapi pekerja bersungguh-sungguh mempertahankan diri dengan seorang jurucakap mendakwa singa terbabit sebenarnya menyebabkan gaya rambut unik itu.

"Seperti kucing, dia mula-mula menjilat kukunya, dan kemudian bermain-main dengan rambutnya," kata jurucakap itu.

Kenyataan lain berkata, tahap kelembapan yang tinggi turut menyumbang kepada perubahan dalam gaya.

Reaksi dalam talian terhadap penjelasan mereka mengenai gaya rambut singa terbabit agak meragukan.

Sesetengah pihak mendakwa mereka pernah melihat singa yang sama dengan penampilan yang lebih tipikal hanya beberapa hari sebelumnya.

"Saya pergi ke sana dua bulan lalu, gaya rambutnya tidak seperti ini, dan kini gaya rambutnya sangat bodoh.

"Seorang lagi pengguna media sosial yang lebih marah mengecam kakitangan kerana merosakkan penampilan singa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 1:04 PM