FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Madinah: Seramai 1.54 juta jemaah umrah tiba di Madinah melalui laluan udara, darat dan laut sejak awal musim umrah tahun ini.

Daripada jumlah itu, 1.3 juta jemaah umrah sudah pulang manakala baki 242,580 masih berada di Madinah sehingga Isnin, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Kementerian Haji dan Umrah bagi Ehwal Lawatan di Madinah, seperti dilaporkan Saudi Gazette.

Statistik menunjukkan, warga Iraq mencatatkan jumlah jemaah tertinggi yang tiba di Madinah untuk mengunjungi dan bersolat di Masjid Nabawi pada musim umrah kali ini iaitu seramai 313,815 jemaah, diikuti rakyat Pakistan (201,003), Indonesia (171,898) dan Mesir (95,907).

Jumlah permit yang dikeluarkan secara elektronik bagi membenarkan jemaah untuk menunaikan solat di kawasan Raudah di Masjid Nabawi pada bulan Ramadan adalah 262,781, termasuk 116,045 permit bagi jemaah wanita.

Sementara itu, lapor Saudi Gazette, jumlah permit yang dikeluarkan untuk bersolat di Raudah sejak awal musim umrah ini mencecah 2.8 juta melalui aplikasi Eatmarna.

Statistik kementerian itu menunjukkan jumlah permit yang dikeluarkan kepada jemaah untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan tahun ini mencecah 6.7 juta menerusi aplikasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 5:02 PM