FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Bangkok: Pusat Darah Kebangsaan Thailand belum bersedia menerima permohonan untuk menderma darah dari komuniti LGBT.

Ia juga belum bersedia untuk melonggarkan syarat ketat bagi penderma darah dari kumpulan berisiko tinggi ini.

Pusat berkenaan yang beroperasi di bawah Pertubuhan Palang Merah Thailand mengeluarkan kenyataan berkenaan selepas Nikorn Chimkong yang juga Pengerusi Yayasan HIV Asia dan Pertubuhan Pelangi Bangkok menggesa masyarakat untuk meluaskan skop yang meliputi kumpulan berkenaan khususnya ketika bekalan darah semakin berkurangan.

"Pertubuhan Palang Merah Thailand komited dengan misi dan resolusi untuk mengambil berat kehidupan orang awam selari dengan prinsip asas Pergerakan Palang Merah Antarabangsa.

"Kami menghormati hak asasi setiap individu tanpa diskriminasi," kata kenyataan itu.

Dalam tempoh peralihan kriteria derma darah bagi lelaki yang mengadakan hubungan sejenis di beberapa negara dalam tempoh beberapa dekad, Pusat Darah Kebangsaan sentiasa memantau perkembangan sains perubatan bagi menambah baik usaha berkenaan.

Di Thailand, kadar HIV dalam kalangan penderma darah kali pertama mencatatkan angka 130 bagi setiap 100,000, berbanding 40 bagi penderma yang kerap menderma darah.

Angka berkenaan lebih tinggi berbanding di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Singapura, Macau, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong dan Jepun.

Di Bangkok, kadar HIV dalam kalangan lelaki gay adalah lebih 30 peratus, lapor Bangkok Post.

"Statistik ini adalah faktor utama yang perlu dinilai sebelum membuat sebarang perubahan ke atas kriteria yang ditetapkan selama ini," kata kenyataan itu.

Katanya, sekumpulan penasihat yang terdiri daripada pakar dalam bidang pemindahan darah membuat keputusan bahawa Thailand belum bersedia menanggung risiko untuk melonggarkan kriteria dalam menerima darah dari lelaki yang melakukan hubungan sejenis.

Menurutnya, langkah berkenaan dianggap praktikal dan bukan diskriminasi, kerana wanita transgender yang tidak memiliki sejarah hubungan seksual dengan pasangan lelaki masih boleh menderma darah.

Sebelum kriteria lelaki gay dan orang lain dalam kumpulan ini dapat dilonggarkan, kadar jangkitan HIV dalam kalangan penderma perlu turun ke angka satu dari 100,000 penderma setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:03 PM