SATU beg darah yang didermakan amatlah bernilai kerana ia boleh menyelamatkan tiga nyawa.
SATU beg darah yang didermakan amatlah bernilai kerana ia boleh menyelamatkan tiga nyawa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DARAH yang mengalir melalui urat membawa oksigen dan nutrien penting ke seluruh badan.

Ia memainkan peranan penting untuk membolehkan organ manusia berfungsi dengan baik serta dapat melakukan tugas harian tanpa sebarang halangan.

Namun, kehilangan komponen badan yang begitu penting dan tidak diganti semula adalah berbahaya serta mengancam nyawa seperti dialami pesakit hematologi seperti leukemia serta talasemia.

Justeru, pendermaan darah penting bagi membantu mereka yang mengalami masalah darah sama ada disebabkan keturunan atau menghidapi kanser darah kerana sumsum tulang mereka tidak dapat menghasilkan semula sel darah sihat secara semula jadi bagi membolehkan badan berfungsi seperti biasa.

Menurut Pakar Perunding Haematologi dan Pakar Perubatan Transplantasi Pusat Perubatan Sunway, Dr Ho Kim Wah, pelbagai jenis penyakit hematologi memerlukan pemindahan darah yang berterusan.

"Ia termasuk pesakit leukemia akut yang mengalami cytopaenia dan pesakit leukemia akut atau limfoma yang mengalami anemia (tidak mempunyai sel darah merah sihat yang cukup) atau thrombocyopaenia akibat rawatan seperti kemoterapi termasuk pesakit yang mengalami masalah gangguan kronik membabitkan haemoglobinopathy seperti talasemia major.

"Pemindahan darah adalah perlu untuk mengekalkan fungsi organ, pertumbuhan dan kesejahteraan secara umum bagi menyokong pesakit berkenaan untuk meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Menurut laman web data Kementerian Kesihatan, KKMNOW, sehingga 26 Jun 2023, darah yang diterima setiap hari di seluruh negara adalah sebanyak 1,287 beg dengan purata 1,858 beg bagi tempoh tujuh hari.

Jumlah penderma darah yang baharu bagaimanapun mengalami trend menurun dan sebahagiannya disebabkan pandemik yang melanda negara pada 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, terdapat sedikit peningkatan pada tahun lalu dengan 120,929 penderma baharu berbanding dengan 96,702 penderma pada 2021 dan 115,606 pada 2020.

Bagi enam bulan pertama pada tahun ini, terdapat peningkatan yang memberangsangkan apabila penderma baharu mencatatkan 59,244 orang.

Namun Dr Ho berpendapat, bekalan darah yang rendah akan mengakibatkan rawatan darah yang suboptimal untuk pesakit hematologi dan ini tidak baik untuk kesihatan mereka.

"Mereka mungkin mengalami gangguan daripada segi fungsi organ, pertumbuhan yang lemah, komplikasi daripada extramedullary haematopoiesis (pembentukan dan pengaktifan sel darah di luar sumsum tulang sebagai tindak balas kepada tekanan hematopoietik (pembentukan darah) serta kualiti hidup yang rendah.

"Dalam situasi yang serius, transfusi suboptimum akibat bekalan darah yang tidak mencukupi turut boleh menyebabkan kematian," katanya.

Dalam pada itu, secara amnya, risiko menderma darah adalah minimum selagi penderma layak untuk menjadi penderma darah seperti memenuhi kriteria umur, tidak berpuasa, mempunyai berat badan yang ideal, tidur secukupnya sebelum menderma darah, sihat daripada segi fizikal dan mental serta pelbagai

standard lain.

Selepas menderma darah, penderma sentiasa dinasihatkan untuk berehat sekurang-kurangnya 10 minit dan mengambil sedikit makanan ringan serta minum banyak air selepas menderma darah adalah penting untuk penderma darah.

Penderma juga diminta mengelakkan daripada melakukan aktiviti lasak dalam tempoh 24 jam pertama selepas menderma darah bagi mengelakkan diri mereka daripada jatuh pengsan.

Bagi penerima pula, pemindahan darah pada masa kini adalah prosedur yang selamat.

Namun begitu, ia bergantung kepada individu kerana mungkin terdapat beberapa risiko kecil, antaranya tindak balas alahan, tindak balas transfusi yang bukan hemolitik (demam atau menggigil yang berlaku selepas pemindahan), hemolisis akut (demam, sakit pinggang dan air kencing berwarna merah atau

perang), penghantaran jangkitan bawaan darah (kes yang sangat jarang berlaku) atau jangkitan bakteria/sepsis yang kebiasaannya disebabkan oleh darah yang tercemar (kes yang sangat jarang berlaku).

"Dalam apa jua keadaan, jika pesakit mengalami simptom seperti demam, menggigil, sakit dada, berpeluh, gatal, sesak nafas atau kurang selesa, mereka atau penjaga mereka harus melaporkannya kepada jururawat atau doktor dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 6:43 AM